Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

DESAS DESUS Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pahang akan melompat menyertai Perikatan Nasional (PN) jika gabungan itu menang di Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai merupakan propaganda pembangkang.

Sebaliknya, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan terdapat maklumat beberapa ADUN daripada PN yang dijangka menyokong kerajaan gabungan BN-Pakatan Harapan (BN-PH) di Pahang.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri menyangkal dakwaan Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin kononnya beberapa ADUN BN akan melompat sekiranya PN berjaya menawan Pelangai pada PRK 7 Oktober ini.

“Dakwaan empat ADUN BN akan sokong PN adalah propaganda mereka tapi kita ada maklumat dalaman yang sebenarnya mereka akan bersama-sama kami,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional di Putrajaya, semalam.

Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno berkata, komposisi yang membentuk Kerajaan Negeri Pahang ketika ini terdiri daripada 16 ADUN BN dan lapan ADUN PH manakala PN mempunyai 17 ADUN.

“Insya-Allah, kita akan kekalkan Pelangai. Jumlah ini adalah lebih daripada mencukupi bagi membentuk kerajaan,” katanya.

Pahang adalah antara negeri yang belum menguatkuasakan undang-undang antilompat parti terhadap ADUN sejak ia dilaksanakan di peringkat Persekutuan pada 5 Okt 2022.

PRK Pelangai diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Johari Harun dalam nahas pesawat terhempas di Bandar Elmina Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lepas.

PRK Pelangai menyaksikan pertandingan tiga penjuru di antara calon BN Datuk Amizar Abu Adam, calon PN Kasim Samat dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasni. -Media Perpaduan