Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

JABATAN Panel Keluli Bermodular (JPKB) atau ‘Jambatan Bailey’ digerakkan ke seluruh negara untuk menghadapi musim tengkujuh.

Timbalan Menteri Kerja Raya (KKR) Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, kementeriannya mempunyai simpanan JPKB sepanjang 600 meter di tujuh stor penyimpanan di seluruh Semenanjung dan ia sedia digunakan di kawasan yang terputus hubungan.

Tujuh lokasi itu membabitkan Alor Star di Kedah; Kinta di Perak; Petaling di Selangor; Kuala Pilah di Negeri Sembilan; Johor Bahru di Johor; Temerloh di Pahang dan Machang di Kelantan.

“JPKB ini bersifat sementara dan ia boleh dipasang siap dalam tempoh minimum 36 jam untuk dijadikan sebagai laluan alternatif bagi menghubungkan kawasan yang terputus akibat bencana.

“Selain JPKB, sebanyak 2,580 aset jentera (Persekutuan dan negeri) seperti pacuan empat roda, jentera kaut, lori muatan tiga dan lima tan, jentera penyodok juga sedia digerakkan bagi tujuan pengangkutan petugas dan misi bantuan, pemantauan, pemulihan dan pembaikan infrastruktur, pembaikan cerun serta pemindahan mangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pembukaan Projek Menaik Taraf Laluan 64, Jalan Benta-Jerantut-Maran Fasa 1, di Jerantut, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, cawangan Kejuruteraan Cerun Jabatan Kerja Raya (JKR) juga akan memeriksa dan memastikan sistem saliran cerun dalam keadaan baik dan mengenal pasti tanda awal kegagalan cerun di sepanjang jajaran jalan persekutuan dan negeri.

“Cerun berkategori risiko tinggi dan sangat tinggi yang dikenal pasti akan diberi perhatian dengan kekerapan rondaan dan pemeriksaan akan dipertingkatkan,” katanya.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), negara diramal berada dalam fasa akhir Monsun Barat Daya bermula September sebelum memasuki fasa Monsun Timur Laut (MTL) antara November depan hingga Februari 2024. -Media Perpaduan