Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

HARAPAN penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai untuk memiliki sebuah bank bagi memudahkan urusan kewangan mereka tampak cerah setelah Bank Simpanan Nasional (BSN) sedia membuat kajian kebolehlaksanaan di kawasan itu.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata beliau menyokong bank yang berada di bawah kementeriannya untuk membuka cawangan di Pelangai.

“BSN bersetuju menghantar pasukan bagi meninjau kajian kebolehlaksanaan menubuhkan sebuah bank di Pelangai.

“BSN ini adalah di bawah Kementerian Kewangan, maka kita meminta dan mereka bersetuju mengadakan kajian itu.

“Saya juga menyokong agar BSN menubuhkan cawangannya di sini. Saya harap perkara ini boleh dilaksanakan.

“Saya juga telah bercakap dengan calon untuk beliau menyusuli perkara ini selepas 7 haribulan. Insyallah, selalunya selepas kajian itu maka bank akan ditubukan,” katanya pada sidang media di Kampung Bukit Gajah, Pelangai dekat Bentong, hari ini.

Pilihan Raya Kecil Pelangai pada 7 Oktober ini menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Datuk Amizar Abu Adam menentang Kasim Samat (Perikatan Nasional) dan Haslihelmy DM Zulhasli (Bebas).

Mengulas lanjut, Ahmad yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno berkata, kajian itu untuk mengetahui kawasan berkenaan mempunyai potensi berdaya maju seperti mana yang berlaku di Benut, Pontian sewaktu ketika dulu.

“Saya yakin dengan ada tiga Felda yang besar, sekolah banyak, peniaga dan penjaja saya kira ia akan boleh berdaya maju lah. Kajiannya dah tentu boleh berdaya maju atau tidak untuk ditubuhkan bank.

“Ia berlaku di kawasan saya, Benut Pontian. Ketika saya menjadi Timbalan Menteri Kewangan fasa pertama, tiada ada bank di situ, maka saya meminta BSN membuat kajian kebolehlaksanaan dan selepas itu ditubuhkan sebuah bank BSN di Benut,” katanya. -Media Perpaduan