Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

DATUK Seri Najib Razak seorang yang setia kepada parti, Umno dan Barisan Nasional (BN) malah tidak pernah mengeluarkan kenyataan supaya Umno menarik sokongan kepada Kerajaan Perpaduan, kata Datuk Seri Mohd Nizar Najib.

Anak sulung kepada bekas Perdana Menteri itu kesal kerana setiap kali muncul pilihan raya akan tersebar fitnah dan cerita untuk mengelirukan rakyat mengenai bapa beliau yang kononnya tidak lagi menyokong Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Para penonton sedar tiap-tiap kali ada Pilihan Raya Negeri (PRN), ada Pilihan Raya Kecil (PRK) ada sahaja individu yang tidak bertanggungjawab yang menggunakan nama ayahanda saya untuk kepentingan peribadi, politik mereka.

“Saya nak tanya mereka tu siapa? Ada ke semasa ayahanda saya berjumpa individu-individu tertentu?

“Jangan pandai-pandai buat spekulasi, jangan pandai-pandai buat andaian sekiranya kamu tiada di situ. Ini jelas percubaan untuk mengelirukan orang ramai dan untuk mempengaruhi sentimen dan kepercayaan orang ramai semasa PRK Pelangai ini,” katanya dalam klip video di TikTok.

Terdahulu, menjelang hari mengundi PRK Pelangai pada 7 Oktober ini, jentera propaganda Perikatan Nasional (PN) menularkan cerita kononnya Najib sangat marah kepada Kerajaan Perpaduan yang meluahkannya kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu pertemuan di Penjara Kajang.

Menafikan perkara itu, Mohd Nizar yang juga Adun Pramu Jaya berkata, bapanya berada dalam keadaan sihat dan ceria serta tidak timbul kenyataan beliau tidak menyenangi parti-parti tertentu dalam Kerajaan Perpaduan sehingga mahu Umno menarik sokongan.

“Saya ingin mengesahkan, dia (Ismail Sabri) hadir berjumpa beliau di Kajang, saya sendiri hadir selepas perjumpaan dengan bekas Perdana Menteri itu berlaku.

“Saya hadir berjumpa ayahanda dan beliau tidak sebut pun beliau marah dengan Kerajaan Perpaduan, mahu tarik sokongan itu tidak benar sama sekali.

“Saya berharap orang ramai tidak termakan dengan andaian atau pun hasutan sebegini dan saya sekali lagi menegaskan ayahanda saya tidak pernah menyatakan beliau tidak sokong Kerajaan Perpaduan atau tarik balik sokongan,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Nizar berharap Kerajaan Perpaduan dapat memberikan keadilan sewajarnya kepada bapa beliau bagi membersihkan nama dan dibebaskan.

“Saya berharap Kerajaan Perpaduan memberikan keadilan yang sewajarnya kepada ayahanda saya berdasarkan bukti-bukti dan ketidakadilan dalam sistem kehakiman kita,” katanya. -Media Perpaduan