PEMBANGKANG Perikatan Nasional (PN) tahu tapi buat-buat lupa mengenai punca Umno memutuskan untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) membentuk Kerajaan Perpaduan.
Malah, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pembangkang masih lagi memainkan isu dengan memutar belit seolah Umno melanggar keputusan ‘No DAP, No Anwar dan No PPBM’.
Setiausaha Agung Umno itu berkata, pembangkang memutar belit ketetapan dasar Umno yang dibuat dalam Perhimpunan Agung parti dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada 28 Mac 2021.
Tegasnya, ketetapan itu dibuat untuk Umno menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) secara bersendirian.
“Selepas keputusan PRU15 pada 20 November 2022 keluar, Allah mentakdirkan tiada siapa yang boleh membentuk kerajaan persekutuan.
“Lalu, Yang di-Pertuan Agong menggunakan kebijaksanaan baginda menitahkan ketua-ketua parti mengadap.
“Semua 19 parti akur untuk membentuk kerajaan perpaduan dengan Pakatan Harapan (PH), hanya satu satu parti iaitu PN yang tolak,” katanya dalam hantaran Facebook.
Menjelaskan penarikan Umno yang menarik balik ketetapan dasar lama ‘No DAP, No Anwar dan No PPBM’, Asyraf berkata, Umno akur dengan titah Yang di-Pertuan Agong dan perkara itu telah diputuskan dalam mesyuarat pada 23 November lalu.
“Selain itu, kita meletakkan empat syarat utama termasuk kedudukan Islam, Melayu, Raja-Raja Melayu dan Bahasa Melayu tidak diganggu-gugat,” katanya. –Media Perpaduan