Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KERAJAAN menyeru syarikat media sosial dan penyedia perkhidmatan komunikasi di negara ini agar lebih bertanggungjawab bagi membantu membendung penyebaran maklumat yang tidak benar kepada masyarakat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institut), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, langkah itu perlu sebagai susulan kepada tindakan beberapa syarikat berasaskan teknologi yang sudah mula mengambil langkah untuk mengurangkan maklumat palsu dan tidak tepat pada platform mereka.

“Bagaimanapun, untuk syarikat yang lain, insentif kewangan menyebabkan mereka tidak bertindak secara lebih komprehensif menyebabkan kesan yang negatif pada maklumat yang disampaikan dan kebebasan bersuara.

“Saya berharap syarikat ini dapat menjalankan perniagaan mereka berpandukan etika yang baik kerana mereka mempunyai impak kepada minda anak muda, komuniti dan negara.

“Kerajaan menyokong semua usaha untuk memastikan maklumat yang boleh dipercayai, mempunyai objektif jelas dan berasas yang boleh diakses semua rakyat Malaysia,” katanya menerusi rakaman video pada Mesyuarat Asia Pasifik Bersama Pakar Berkenaan Maklumat Tidak Benar Dan Kebebasan Maklumat di Pusat Timbangtara Antarabangsa Asia, di ibu negara, hari ini.

Turut hadir, Naib Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Datuk Mary@Mariati Robert; Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Kebebasan Berfikir dan Bersuara, Irene Khan; Pengarah Eksekutif, Projek Keadilan Dunia, Elizabeth Andersen serta Pengarah Urusan LexisNexis Asia dan Pasifik, Greg Dickason.

Menjelaskan mengenainya,Azalina berkata, penyebaran maklumat palsu memberi kesan buruk kerana masyarakat menjadi keliru dengan maklumat diberikan.

Beliau memberi contoh berkaitan penyebaran maklumat tidak benar ketika pandemik COVID-19 menyebabkan kerajaan terpaksa menggunakan undang-undang yang komprehensif untuk menangani cabaran itu.

“Selain itu, pada pilihan raya kecil baru-baru ini juga, ada maklumat palsu berhubung isu 3R iaitu kaum, agama dan raja disebarkan untuk mengelirukan serta memanipulasi pengundi.

“Semua orang perlu sedar hak untuk kebebasan bersuara perlu disertai dengan hak untuk mencari, menerima dan menyampaikan maklumat yang benar.

“Ia juga termasuk menghormati budaya dan amalan komuniti serta mematuhi undang-undang berdasarkan Perlembagaan Persekutuan,” katanya. -Media Perpaduan