Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

MOMENTUM penerimaan rakyat di Pelangai terhadap Barisan Nasional (BN) semakin meningkat sekali gus memberi petanda positif untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut pada Pilihan Raya Kecil (PRK), 7 Oktober ini.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perkembangan positif itu dapat dilihat dari sehari ke sehari dalam tempoh berkempen ini berhubung keyakinan rakyat terhadap calon BN, Datuk Amizar Abu Adam.

Justeru, Mohamad menegaskan, jentera BN dan parti-parti Kerajaan Perpaduan perlu bekerja keras sehingga saat akhir iaitu sebelum hari pengundian 7 Oktober ini bagi terus meyakinkan pengundi agar mereka keluar mengundi bukan sahaja demi memenangkan calon BN, tetapi meraih majoriti besar.

“Dalam keadaan sekarang selepas penamaan calon, nampak momentum kempen semakin baik.
Daripada pemerhatian saya sepanjang menjadi Pengarah Pilihan Raya, kalau dibandingkan dengan PRK tempat lain, bahasa badan dan sambutan pengundi di sini amat baik sekali.

“Jadi kita berharap jentera BN dan parti Kerajaan Perpaduan terus bekerja kuat hingga saat akhir, tidak guna berceramah dan meyakinkan pengundi tetapi mereka tidak keluar mengundi. Jadi kepada pengundi, keluarlah sekejap, untuk menjalankan tanggungjawab,” katanya ketika ditemui di Felda Chemomoi, dekat Bentong.

Amizar berdepan saingan tiga penjuru di PRK Pelangai menentang Kasim Samat mewakili Perikatan Nasional (PN) dan seorang calon Bebas, Haslihelmy DM Zul Hasli.

PRK Pelangai diadakan selepas kerusi itu diisytiharkan kosong susulan penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun daripada BN meninggal dunia dalam nahas pesawat terhempas di Elmina, di Shah Alam, Selangor, bulan lalu. -Media Perpaduan