Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SETIAUSAHA politik kepada semua menteri akan menghantar surat kepada menteri yang menyelia urusan Parlimen untuk mendesak Ahli Parlimen Putrajaya Datuk Dr Radzi Jidin digantung daripada Dewan Rakyat atas “kelakuan biadab”.

Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin berkata, surat itu akan dihantar kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said selewat-lewatnya pada 6 Oktober ini.

“Kritik, beza pendapat boleh tapi jangan hina, aib, malu, malah cerca tak boleh jadi amalan,” katanya selepas menghadiri acara di Surau Malabar Hidayatul Islam, Kuala Lumpur, hari ini.

Shamsul menegaskan, tindakan menggesa penggantungan Radzi dimulakan selepas bekas Menteri Pendidikan itu membidas Perdana Menteri Anwar Ibrahim semasa penggulungan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat minggu lalu.

Dalam insiden pada 19 September itu menyaksikan Radzi gagal mengawal kemarahannya dan bersikap biadap terhadap Perdana Menteri sebelum diarah keluar Dewan Rakyat yang kemudiannya diikuti semua Ahli Parlimen Perikatan Nasional sebagai tanda protes.

Sebelum ini, Majlis Setiausaha Politik Kerajaan diketuai Shamsul turut menggesa Radzi digantung daripada Dewan. -Media Perpaduan