Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

TINDAKAN pemimpin PAS yang memutar belit kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan pendirian tegas Malaysia tidak menghalalkan amalan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) adalah amat dikesalkan.

Ahli Parlimen Batu Pahat Onn Abu Bakar berkata, PAS cuba memburukkan imej Perdana Menteri kononnya bersikap liberal dan tidak mahu ‘mengganggu’ (harassment) golongan itu.

Tegasnya, pendirian Perdana Menteri sejak awal jelas tidak mengiktiraf LGBT seperti yang dinyatakan dalam wawancara bersama CNN namun digunakan PAS sebagai bahan kecaman dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai.

Ironinya, Onn berkata, PAS yang pernah menjadi kerajaan selama 33 bulan tidak mengiktiraf LGBT tetapi tidak mengambil tindakan undang undang secara besar besaran terhadap golongan tersebut seperti mana pendekatan yang dilakukan kerajaan sekarang.

“(Oleh itu) saya nasihatkan kepada pemimpin PAS, pendirian Malaysia tidak mengiktiraf LGBT itu jelas dan Perdana Menteri berkali-kali menegaskan hal itu.

“Kalau kita tengok waktu pentadbiran 33 bulan (PN) pun mereka tidak melakukan apa-apa (tindakan undang-undang) terhadap komuniti LGBT.

“Jadi, saya nasihatkan kalau nak spin (putar belit) sekali pun beringatlah kita ini hidup tak lama,” katanya dipetik Suara Keadilan.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man dalam ceramah di PRK Pelangai yang mendakwa jika kerajaan berpendirian untuk tidak ‘mengganggu’ kumpulan LGBT, ia akan memberi ancaman kepada masyarakat lain khususnya umat Islam.

Dalam ceramah itu, Tuan Ibrahim terus menghasut rakyat dengan dakwaan Anwar seorang liberal kerana tidak mahu ‘menganggu’ golongan LGBT.

Pada masa sama, Onn mencadangkan golongan yang mengamalkan budaya LGBT itu seharusnya dibantu untuk kembali semula ke identiti asal.

Menurutnya, pendekatan hanya menghukum tidak banyak mengubah perilaku golongan tersebut.

“Saya fikir tidak seharusnya kita menghukum mereka semata-mata, sebaliknya cara mendidik dan menyantuni (lebih diutamakan) supaya mereka kembali ke fitrah asal. Itu yang harus dilakukan,” katanya.

Pada 23 September lalu, PM menerusi wawancara dengan Amanpour yang disiarkan CNN menegaskan pendirian kerajaan Malaysia dan rakyat untuk tidak menerima golongan LGBT.

Dalam temu bual itu Anwar menekankan, mengekang unsur LGBT dan mengizinkan harassment adalah dua isu yang berbeza. -Media Perpaduan