Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SYIAR Islam tidak akan terancam di Pahang apabila Barisan Nasional (BN) bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), kata Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Menteri Besar Pahang itu menegaskan dakwaan PAS bahawa negeri itu akan menjadi negeri sekular adalah dakyah politik pembangkang yang tidak benar sama sekali.

Menguatkan lagi, beliau membangkitkan enakmen yang telah diluluskan kerajaan negeri untuk menghalang murtad.

Wan Rosdy Wan Ismail

Malah Naib Presiden Umno itu berkata, enakmen yang diluluskan DUN pada 2020, turut disokong Young Syefura Othman daripada DAP yang ketika itu menjadi ADUN Ketari.

“(Pembangkang dakwa) Pahang akan jadi negeri sekular. Mereka kata Pahang ini tak Islamik.

“Selepas saya jadi menteri besar, kita buat enakmen (tangani) murtad di Pahang. YB Rara (Young Syefura) boleh sahkan, dia pun sokong (ketika itu).

“Maknanya dulu orang Melayu Islam di Pahang ini, tiada mana-mana peraturan boleh halang (mereka) keluar daripada Islam.

“Tetapi dengan bantuan kawan-kawan Exco dan ADUN, (Pahang ada undang-undang) boleh tangkap dan nasihat dia (jika) nak keluar Islam,” katanya dipetik Malaysikini dalam ucapan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai, di Bentong.

Difahamkan Wan Rosdy merujuk Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam (Pindaan) 2020 yang dibentang dan diluluskan di DUN Pahang tiga tahun lalu.

Pindaan itu antara lain menyatakan mana-mana orang Islam yang ingin keluar daripada Islam untuk dinilai Jawatankuasa Penasihat Akidah yang akan menentukan jika pemohon tersebut bukan beragama Islam.

Jika pemohon didapati beragama Islam, enakmen memberi kuasa kepada Ketua Pendaftar Penentuan Status Muslim untuk mengarahkan individu itu menjalani ‘proses nasihat’ dan ‘proses taubat’.

Dalam pada itu, Wan Rosdy menggesa pengundi di Pelangai tidak terpengaruh dengan pembangkang, termasuk dakwaan Pengarah Pilihan Raya PN Muhammad Sanusi Md Nor bahawa pada masa akan datang ‘apek pakai seluar pendek’ yang akan mengajar agama di masjid jika BN dan PH terus memimpin.

Beliau menyifatkan serangan Sanusi itu sebagai pembohongan serta ‘tidak logik dan tidak masuk akal’.

“Dia cakap begitu sebenarnya nak wujudkan sentimen atau persepsi kononnya sebab UMNO baik dengan masyarakat Cina, nanti apek boleh baca khutbah,” katanya.

Tegas Wan Rosdy, kerajaan Pahang setakat ini berkhidmat dengan baik termasuk dalam soal ekonomi, justeru pemimpin PN tiada pilihan selain bermain dengan sentimen ketika berkempen.

“Saya bimbang sebab pada PRU lalu mereka berjaya wujudkan persepsi dan sentimen.

“Mereka takut, kalau tengok prestasi kita di Pahang, mereka tak ada modal.

“Jadi dia bercakap nak menakut-nakutkan orang supaya jangan sokongan BN dan kerajaan perpaduan,” katanya. -Media Perpaduan