JEREBU melanda hampir seluruh Sarawak dengan dua stesen mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada kadar tidak sihat, manakala 10 stesen lagi mencatat bacaan IPU pada kadar sederhana, semalam dan hari ini.
Berdasarkan laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) stesen IPD Serian (MCAQM) mencatat IPU tidak sihat pada kadar 116 mulai jam 4 petang semalam dan menurun pada 109 pada jam 7 malam.
Bacaan IPU di stesen IPD Serian (MCAQM) kemudian berada pada tahap sederhana mulai jam 8 malam iaitu 99 dan 98 pada jam 11 pagi ini.
Stesen Sri Aman turut mencatat IPU tidak sihat iaitu 125 mulai jam 7 pagi hari ini dan terus meningkat setiap jam sehingga mencapai 151 pada jam 11 pagi, lapor Harian Metro.
Stesen Kuching pula berada pada tahap sederhana sejak jam 12 tengah hari semalam iaitu pada kadar 70 terus meningkat hingga mencapai kadar 88 pada jam 11 pagi ini.
Tinjauan di bandar raya Kuching mendapati jerebu mula kelihatan sejak awal pagi dan berlarutan sehingga tengah hari.
Menurut APIMS, bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas sebagai berbahaya. -Media Perpaduan