Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

AURA Datuk Seri Anwar Ibrahim di pentas antarabangsa begitu luar biasa dan mendapat perhatian hangat dunia.

Malah ucapan Perdana Menteri pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 di New York telah menenggelamkan ucapan pemimpin dunia yang lain termasuk Presiden Amerika Syarikat (AS) sendiri, Joe Bide, kata Datuk Mohd Puad Zarkashi.

“Ketika Presiden Iran berucap, dia mengangkat Al Quran tetapi tidak ada siapa yang tepuk tangan.

Ucapan Presiden Amerika juga tiada sambutan dari perwakilan.

“Perdana Menteri New Zealand beritahu dia rasa lega kerana orang ketiga berucap selepas Anwar. Dia rasa tenggelam jika berucap lepas Anwar.

“Dalam 15 minit itu PMX sentuh isu perang Russia-Ukraine, Palestin, Myanmar, Islamfobia, low carbon and renewal energy roadmap oleh Malaysia dan rasisme bentuk baru,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Dalam hantaran itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu membidas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor kerana memperlekeh penampilan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Astaghfirullah. Itu kata hati nurani saya bila mendengar komen Sanusi mengenai ucapan Anwar di UNGA ke 78 di New York.

“Saya hadir di UNGA tersebut. Saya saksi hidup. Saya di dalam Dewan Persidangan Utama PBB. Saya duduk di kerusi VIP bersama Datuk Nazri Aziz dan Datuk Sharkar.

“Bahkan saya hadir tiga hari berturut turut (Selasa-Khamis) mendengar ucapan ketua-ketua negara lain sebelum PMX berucap pada hari Jumaat,” katanya.

Justeru, Mohd Puad berkata, Muhammad Sanusi ternyata seorang ‘kaki fitnah’ apatah lagi menggunakan gambar tanpa usul periksa.

“Saya rakam banyak foto yang saya lampirkan. Sanusi Menteri Besar. Oleh kerana saya saksi hidup maka dia wajar digelar pemimpin pembohong nombor satu Malaysia,” katanya.

Kelmarin, Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) berkata situasi dewan yang lengang ketika Anwar berucap menyampaikan Kenyataan Negara malam semalam, cukup memalukan.

“Orang buat perbandingan, ucapan Perdana Menteri ke-9 (PM9) (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) dengan ucapan PM10 di UNGA. Apa bezanya?

“Bezanya masa PM9 berucap orang ramai tetapi masa PM10 berucap di UNGA orang tak ada.. yang ada pun delegasi Malaysia sahaja.

“Kenapa tak ada orang? Sebab orang luar pun tahu dia kuat membohong, daripada dengar lebih baik keluar. Sebagai rakyat Malaysia, kita patut malu kerana ketika berucap di UNGA orang tak mahu dengar,” kata Sanusi. -Media Perpaduan