Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

DATUK Seri Anwar Ibrahim berpuas hati lawatan empat hari ke Amerika Syarikat (US) berjaya mengetengahkan profil antarabangsa Malaysia ke peringkat dunia.

Perdana Menteri berkata, Malaysia juga dapat menyatakan pendirian berhubung isu global dan untuk berkongsi dasar serta aspirasi negara terkait hubungan antarabangsa.

“Ternyata hasilnya baik, ternyata profil antarabangsa kita telah meningkat. Lanjutan pertemuan dengan rakan-rakan sejawat, saya berpeluang berkongsi pengalaman serta bertukar pendapat dalam isu-isu global dan berkepentingan bersama.

“Terdapat begitu banyak permintaan untuk mesyuarat dua hala, kami tidak dapat menampung kerana kekangan masa. Saya gembira profil antarabangsa Malaysia telah meningkat ke kedudukan yang mengagumkan,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang media akhir selepas selesai menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78, New York, hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata lawatan itu memberikan peluang kepada Malaysia untuk mengetengahkan isu-isu antarabangsa seperti konflik Ukraine-Rusia, Islamofobia, perubahan iklim dan masalah di Myanmar.

Anwar turut berkesempatan mengadakan pertemuan dua hala dengan pemimpin-pemimpin Turkiye, Iraq, Thailand dan Sri Lanka.

Perdana Menteri mendedahkan pada mulanya beliau memutuskan tidak mahu hadir pada UNGA kali ini berikutan pelbagai isu domestik dan kurang yakin akan adanya hasil daripada UNGA itu sendiri, namun setelah empat hari beliau gembira dengan hasilnya.

“Pertama ada isu domestik yang perlu diselesaikan. Banyak perubahan seperti transformasi tenaga, pelan induk perindustrian, Ekonomi MADANI, Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 dan juga Pilihan Raya Kecil (PRK).

“Ia sangat berat…mujurlah keadaan jauh lebih baik sekarang,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata usaha menarik lebih banyak pelaburan dan perdagangan ke Malaysia terus membuahkan hasil melalui pertemuan dengan beberapa syarikat gergasi Amerika Syarikat (AS).

Perdana Menteri telah mengadakan pertemuan dan berinteraksi bersama 15 syarikat terkemuka AS yang tersenarai dalam Fortune 500 termasuk Airbnb, Amazon, Amazon Web Services, Boeing, ConocoPhillips dan Kimberly-Clark di Harvard Club. -Media Perpaduan