Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) sentiasa bersiap siaga bagi menghadapi bencana banjir, kata Fadhlina Sidek.

Menteri Pendidikan itu berkata, menjelang musim tengkujuh yang mula melanda negara, menjadi tanggungjawab KPM bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menghadapi bencana berkenaan.

“Kerjasama dengan Nadma antara persediaan terbesar yang biasa kita buat, maknanya menuju ke musim tengkujuh dan persiapan-persiapan lain berkaitan dengan bencana banjir khususnya,” katanya ketika ditemui.

Terdahulu, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal merasmikan Pusat Multidimensi di Sekolah Kebangsaan Sungai Acheh, Nibong Tebal, hari ini.

Beliau berkata, KPM sudah menyiapkan sebahagian besar mekanisme termasuk sekolah yang akan terbabit dengan pusat pemindahan sementara (PPS) jika diperlukan.

“Sekiranya ada apa-apa isu, kita telah menyiapkan sebahagian besar mekanisme dan pusat pemindahan sementara (PPS) yang sudah sentiasa bersedia khususnya sekolah-sekolah kita,” katanya.

Semalam, tiga negeri iaitu Perak, Sabah dan Sarawak telah dilanda banjir membabitkan ratusan mangsa terpaksa dipindah ke PPS. -Media Perpaduan