Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

DATUK Dr Radzi Jidin dinasihatkan agar segera bertaubat berikutan membuat kenyataan tuduhan qazaf di Dewan Rakyat kelmarin.

Timbalan Pengerusi Majlis Ulama Umno, Datuk Seri Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, jeritan Ahli Parlimen Putrajaya itu yang yakin ‘Tambun Peliwat’ jelas termasuk dalam kategori jenayah hudud dalam Islam iaitu menuduh seseorang muslim melakukan zina atau liwat tanpa empat saksi mata.

“Jenayah qazaf adalah dosa besar dalam Islam. Ia menjadi salah satu kesalahan jenayah syariah dalam akta dan enakmen kesalahan jenayah syariah di negeri-negeri dalam Malaysia.

“Bagaimana perkara itu dibiarkan berlaku dalam Parlimen tanpa sebarang teguran sedangkan dalam Parlimen terdapat ustaz-ustaz yang mendalami pengajian Islam dan memperjuangkan pula pelaksanaan hudud dalam negara.

“YB Putrajaya kena segera bertaubat kepada Allah kerana melakukan jenayah besar dalam Islam ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Radzi yang tidak dapat mengawal kemarahannya ketika Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang menjelaskan keputusan mahkamah melepas tanpa membebaskan (DNAA) dalam kes melibatkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bertindak keterlaluan sehingga tergamak membuat tuduhan qazaf.

“Kalau kata yakin, saya kata saya yakin Tambun peliwat, saya yakin Tambun peliwat,” kata Radzi berulang kali.

Tindakan pemimpin Bersatu itu berpunca apabila Anwar enggan menarik balik kenyataannya yang mendakwa beliau melakukan perkara sama ketika pentadbiran Perikatan Nasional (PN).

Insiden itu menyebabkan suasana Dewan Rakyat kecoh kira-kira 30 minit sebelum semua Ahli Parlimen pembangkang bertindak meninggalkan Dewan Rakyat tanda protes ekoran Radzi telah dihalau keluar oleh Speaker kerana berterusan mengganggu Anwar berhujah. -Media Perpaduan