PEMBANGKANG tidak pernah menghantar surat kepada kepada kerajaan untuk memohon peruntukan Ahli Parlimen mereka.
Perkara itu didedahkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang berkata, meskipun Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat pelawaan mengenainya berulang kali, namun pembangkang tidak pernah menghantar surat untuk mengadakan perbincangan dengan kerajaan.
“Dia orang tidak ada hantar surat permohonan sampai sekarang,” katanya dipetik FMT.
Semalam, Perdana Menteri membidas Ahli Parlimen pembangkang yang menuntut peruntukan wakil rakyat tetapi enggan berbincang dengan kerajaan .
Malah, Anwar memberikan contoh bagaimana perkara itu dilakukan pembangkang yang berunding ketika era pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dahulu.
Anwar berkata, kerajaan melantik Fadillah yang juga merupakan pemimpin Parti Pesaka Bumiputra Bersatu dari Sarawak sebagai wakil kerajaan untuk perbincangan tersebut.
Pada dasarnya, Anwar menegaskan, kerajaan bersedia memberikan peruntukan kepada pembangkang namun hanya membabitkan perbelanjaan berkaitan hal pentadbiran.
Anwar juga membidas dakwaan pembangkang tidak menerima sebarang peruntukan di kawasan mereka.
Beliau mendedahkan Parlimen Keterah menerima 61 projek persekutuan bernilai RM2.12 juta manakala Parlimen Sik pula menerima 73 projek bernilai RM3.7 juta.
Justeru, Anwar meminta pembangkang tidak memanipulasikan isu ini sebaliknya perlu tahu terdapat perbezaan maksud peruntukan untuk Ahli Parlimen dengan peruntukan pembangunan di kawasan Parlimen. -Media Perpaduan