Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

DATUK Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan sebarang rasionalisasi subsidi yang dilaksanakan tidak akan membebankan golongan berpendapatan menengah dan rendah.

Perdana Menteri berkata, kerajaan sudah tentu tidak akan menambah beban sedia ada yang ditanggung golongan miskin.

“Saya bagi jaminan bahawa apapun rasionalisasi subsidi yang dilakukan kita tidak akan membebankan golongan berpendapatan menengah dan rendah.
“Ini kerana sebarang penyesuaian yang membebankan mereka tentu akan menambah beban yang sedia ditanggung oleh golongan miskin,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat, hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan perincian subsidi bersasar akan dibentangkan dalam Belanjawan Madani Kedua 2024 bulan depan.

Sebelum ini, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, kerajaan menjangkakan subsidi bersasar dapat dilaksana sepenuhnya tahun depan namun ia memerlukan pendekatan sesuai.

Menurutnya, sistem kad untuk menyalurkan subsidi bersasar akan digunakan bagi memastikan hanya kumpulan atau industri berkelayakan sahaja akan mendapat manfaat daripadanya.

Mengenai harga petrol tidak boleh diturunkan kepada RM1.50 seliter, Anwar menjelaskan, ianya berdasarkan perkembangan kadar semasa minyak mentah dunia.

Jelasnya, harga semasa petrol di Malaysia masih berada pada tahap rendah, iaitu RM2.05 seliter, berbanding Arab Saudi yang menetapkan pada kadar RM2.84 seliter.

Justeru, beliau menyifatkan, tidak wajar jika cadangan diajukan beliau ketika 2018 itu, berterusan dimanipulasi, tanpa mengambil kira perkembangan semasa.
“Masa itu (2018), berapa harga minyak di Arab Saudi, 50 sen per liter, manakala di Malaysia (RM2.21 seliter).

“Sekarang semasa saya jadi Perdana Menteri, berapa harga petrol? Minyak di Arab Saudi RM2.84 seliter, manakala di Malaysia RM2.05 seliter.

“Kita kena ambil kira ini, kenaikan atau penurunan minyak. Itu maknanya, (harga) minyak kita masih rendah.

“Justeru, tidak tepatlah jika mahu terus menggunakan komen dan hujah dibuat bersama-sama ketika kita dalam Pakatan Rakyat, sebelum ini,” katanya. -Media Perpaduan