AKTA Komunikasi dan Multimedia 1998 akan dikaji bagi memperluaskan bidang kuasanya selaras dengan perkembangan dunia siber.
Timbalan Menteri Komunikasi daj Digital (KKD) Teo Nie Ching berkata, akta tersebut perlu ditambah baik bagi mengambil tindakan tegas terhadap jenayah siber dalam semua platform media sosial.
“Akta Komunikasi dan Multimedia ini digubal pada 1998, KKD berasakan sudah sampai masanya untuk kita kaji semula bagi memastikan undang-undang yang ada sekarang adalah mencukupi untuk mengambil sebarang bentuk tindakan undang-undang.
“Ini merupakan usaha yang sedang dijalankan oleh pihak kementerian, kita sudah dapat menentukan hala tuju dan selepas ini akan buat keterlibatan dengan pemegang taruh,” katanya selepas menghadiri tayangan filem Malbatt Misi Bakara di pusat beli-belah AEON Kulai, semalam.
Mengulas lanjut, Nie Ching berkata, kajian terhadap akta itu dapat meningkatkan tanggungjawab penyedia perkhidmatan media sosial berkaitan salah laku siber yang berlaku dalam platform masing-masing.
Menurutnya, pindaan akta itu diharap dapat dibentangkan di Parlimen pada sesi hujung tahun ini atau awal tahun depan.
“Ada beberapa perkara yang kita akan sentuh bagi meningkatkan tanggunjawab penyedia perkhidmatan kerana mereka perlu menyimpan data yang besar untuk tempoh panjang supaya lebih senang untuk pihak polis atau penguat kuasa jalankan siasatan.
Sementara itu, Nie Ching berkata, KKD bersedia memberi kerjasama tentang usaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang akan mengkaji undang-undang sedia ada berkaitan jenayah siber perlu dikaji dengan memasukkan elemen penipuan melalui perisian dan peranti komputer.
Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memberitahu ini kerana kesalahan jenayah siber dijangka terus meningkat pada masa akan datang susulan kepesatan teknologi terutamanya menerusi penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI). – Media Perpaduan