Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

JUALAN Rahmah beras dengan harga berpatutan akan dilancarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), esok.

Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata, program Jualan Rahmah Beras itu bertujuan membantu rakyat yang kini terbeban dengan kenaikan harga makanan itu.

“Tunggu esok, kita lancar Jualan Rahmah Beras. Rakyat akan dapat beras dengan harga diskaun subsidi oleh kerajaan di bawah KPDN.

“Kita akan umumkan mekanisme ini untuk membantu rakyat yang benar-benar tidak mampu supaya dapat memberi beras keperluan harian mereka dengan harga yang kita subsidikan melalui peruntukan yang diberi kerajaan.

“Yang diluluskan Parlimen sebanyak RM100 juta dan diumumkan oleh Perdana Menteri tambahan sebanyak RM50 juta.

“Tidak banyak, tetapi digunakan dengan baik, Insya-Allah untuk membantu rakyat,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Bagaimanapun Fuziah menjelaskan, mekanisme pelaksanaannya hanya akan diperincikan kemudian.

Fuziah yang menggulung perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) turur menjawab soalan Datuk Seri Dr. Radzi Jidin (PN-Putrajaya) berkenaan penguatkuasaan pihak kerajaan.

Radzi mendakwa, terdapat banyak aduan beras tempatan dicampur dengan beras import supaya dapat dijual pada harga tinggi yang bukan dalam bidang kuasa KPDN, namun Fuziah menjelaskan terdapat kaedah bagi menangani isu tersebut.

“Dalam bidang kuasa KPDN ialah kita boleh menjalankan pemantauan, terjahan dan sebagainya di peringkat peruncintan.

“Namun, kita tiada punca kuasa untuk ke peringkat pemborong atau pengilang akan tetapi kerajaan lancarkan Ops Jamin pada 7 Julai supaya boleh turun bersama,” katanya. -Media Perpaduan