Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KERAJAAN Persekutuan bersetuju meluluskan Pelan Induk Bersepadu Guna Tanah Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), atau dikenali sebagai PeGTaECRL.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempengerusikan mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) ke-42 berkata, dokumen itu akan memacu pembangunan di sekitar 20 stesen dan sepanjang laluan ECRL yang dikenal pasti.

“MPFN menjadi platform bagi kerajaan Persekutuan berbincang dengan kerajaan negeri berkaitan hal ehwal perancangan bandar dan desa serta pembangunan fizikal negara, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Anwar berkata, mesyuarat yang berlangsung di Putrajaya hari ini turut bersetuju dengan penambahbaikan kepada proses kelulusan dalam pembinaan infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik melalui Garis Panduan Petak Pengecasan Kenderaan Elektrik dan Prosedur Pemajuan.

Menurutnya, ia selari dengan transformasi industri automatif negara ke arah peralihan masa depan lebih mesra alam dan mampan.

“Ketersediaan infastruktur pengecasan amat penting dalam transformasi sektor automotif ini,” katanya.

Anwar berkata, MPFN Ke-42 juga bersetuju dengan keperluan pemakaian Pelan Pembangunan Geopark Negara 2021-2030 dan Pelan Pelaksanaan Geopark Negara oleh agensi Persekutuan dengan kerjasama kerajaan negeri serta penterjemahan cadangannya dalam dokumen rancangan tempatan untuk kawalan perancangan dan guna tanah peringkat tempatan. -Media Perpaduan