Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SEGALA perjanjian yang telah dimeterai dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan dilaksanakan, itulah jaminan yang diberikan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata MA63 bukan lagi untuk dirunding, sebaliknya perlu dilaksanakan semua perjanjian yang terkandung.

“Tanggungjawab saya adalah melaksanakan janji dan perjanjian yang telah menterai oleh pemimpin dan pejuang negara semasa pembentukan Malaysia untuk diselesaikan.

“Beberapa perkara lain yang termaktub saya telah beri jaminan bukan untuk dirunding, tetapi untuk dilaksanakan,” ucapnya pada Majlis Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan di Stadium Perpaduan, Petrajaya, Kuching malam tadi.

Lebih 5,000 rakyat pelbagai kaum dan agama membanjiri stadium tertutup itu seawal jam 5 petang walaupun acara rasmi dijadual bermula jam 8.30 malam.

Semangat ‘Segulai Sejalai’ yang bermaksud berjalan seiringan menyemarakkan sambutan Hari Malaysia tahun ini.

Suasana lalu lintas menghala ke Kompleks Sukan Sarawak di mana terletaknya Stadium Perpaduan, lokasi sambutan itu sesak berikutan kehadiran ramai untuk bersama-sama memeriahkan sambutan.

Hari Malaysia tahun ini cukup bersejarah kerana ia diraikan untuk kali ke-60 selepas pembentukan sebuah negara hasil gabungan Tanah Melayu, Sarawak dan Sabah pada 16 September 1963. – Media Perpaduan