Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

MESKIPUN berlangsung selama kira-kira 30 minit, Himpunan Selamatkan Malaysia anjuran Pemuda Perikatan Nasional (PN) dan NGO yang berlangsung hari ini di ibu negara tetap melanggar peraturan.

Ketua Polis Kuala Lumpur Komisioner Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata perhimpunan itu gagal mematuhi undang-undang yang diperuntukkan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Pihak polis adalah penguatkuasa undang-undang dan kita berpandukan undang-undang yang digubal iaitu APA 2012 yang menggariskan perkara yang perlu dipatuhi polis dan penganjur khususnya dalam Seksyen 9,10 dan 11.

“Kalau ikutkan Seksyen 9, penganjur dikehendaki memberikan pemakluman megenai sebarang program yang mahu diadakan.

“Dalam Jadual 4 Seksyen 10 APA 2012 pula ada borang yang perlu dinyatakan maklumat penganjur dan kebenaran pemilik tanah, premis dan sebagainya serta ia perlu disertakan dalam kebenaran itu,” katanya dalam sidang media di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur, hari ini.

KIRA-kira 1,000 peserta berhimpun di Masjid Jamek Kampung Baru bagi Himpunan Selamatkan Malaysia anjuran Pemuda Perikatan Nasional (PN), hari ini.

Terdahulu, himpunan itu bermula selepas solat Zohor berakhir, sekitar jam 2.05 petang.

Aktivis Bersatu, Badrul Hisham Shaharin yang berucap di seberang jalan masjid berkenaan mengisytiharkan bahawa tiada himpunan hari ini.

Sebaliknya mereka berkumpul menunaikan solat Zohor berjemaah sebelum bergerak ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Bagaimanapun tujuan mereka berarak ke balai polis itu tidak ketahui.

Peserta himpunan itu kemudiannya mula beredar dari masjid terbabit sambil melaungkan ‘dakwa Zahid’ yang dipercayai merujuk kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Bagaimanapun peserta himpunan berarak ke Sogo berikutan jalan ke IPD Dang Wangi ditutup oleh pihak polis.

Pihak polis menganggarkan sekitar 850 menyertai perhimpunan berkenaan.

Ditanya sama ada penganjur perhimpunan akan disiasat kerana tindakan mereka yang dilihat seolah-olah sengaja mengubah tempat program seperti cubaan mengelirukan polis, Allaudeen berkata, polis akan melakukan siasatan dalam segala aspek.

Tegasnya, polis juga akan memanggil sesiapa sahaja yang boleh membantu siasatan bukan hanya tertakluk kepada individu tertentu sahaja.- Media Perpaduan