Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SETIAP warga negara Malaysia mesti menjiwai semangat kenegaraan dan mengenepikan sikap individualisme.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, berkata, selain perlu mengembeleng tenaga meningkatkan daya saing negara, keampuhan semangat negara bangsa akan terbina menerusi semangat kenegaraan daripada kesatuan dan kesepaduan rakyat.

Jelasnya, hakikat pelbagai cabaran sedang mendepani negara dan rakyat daripada pelbagai arah ketika ini.

“Dunia kini sedang mengalami titik perubahan signifikan. Kini adalah abad Asia dan saya yakin pusat graviti ekonomi global sedang beralih arah ke Asia.

“Alhamdulillah, kitaran kemiskinan di Asia semakin dipecahkan dan rantau ini sedang beranjak sebagai penyumbang penting kepada ekonomi dunia yang mampan dan inklusif.

“Malah, Malaysia akan menjadi tuan rumah ASEAN pada 2025, selain saya yakin negara sudah siap siaga untuk memacu keberhasilan ASEAN agar kemajuan sosioekonomi warganya dapat dilonjakkan ke tahap lebih tinggi di lapangan serantau dan antarabangsa,” ucapnya merasmikan Majlis Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia bersama Ahli Dewan Negara dan Ahli Dewan Rakyat di Parlimen hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh serta Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Dalam pada itu, Johari berkata, Parlimen Belia akan dijadikan program inkubator untuk melahirkan barisan kepemimpinan generasi muda yang berketerampilan dengan proses pengundian ahli perwakilannya akan dirombak secara besar-besaran.

Menurutnya, Parlimen Belia kini dikendalikan Parlimen Malaysia selepas program berkenaan diserahkan Kementerian Belia dan Sukan.

“Pelbagai inisiatif bagi penganjuran program pembangunan golongan muda untuk melahirkan barisan kepimpinan berwibawa akan dirangka.

“Saya ingin menyeru anak muda mendalami pengertian perpaduan agar keharmonian negara akan terus terbela. Sebagai golongan yang akan memimpin negara, mereka harus dipersiapkan bagi menyumbang kepada pembangunan negara yang gemilang.

“Generasi muda sebagai pewaris negara harus giat memainkan peranan aktif dalam menyuntik semangat perpaduan dan kenegaraan agar sentiasa segar dalam mencipta kejayaan negara,” katanya. -Media Perpaduan