Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KESTABILAN politik yang dimiliki Malaysia ketika ini memberi jaminan kepada pelabur asing untuk menjadikan negara ini sebagai destinasi mengembangkan pelaburan perniagaan mereka.

Perkara itu ditegaskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berkata isu kestabilan politik Malaysia tidak berbangkit lagi ketika ini.

Anwar berkata, sekarang merupakan masa yang sesuai untuk melabur di Malaysia, malah pelbagai petunjuk ekonomi dan dasar-dasar jangka panjang yang diperkenalkan kerajaan termasuklah Ekonomi Madani, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 yang merupakan tawaran terbaik kepada pelabur asing.

Anwar bersama delegasi Malaysia di Singapura

Dalam hantaran di Facebook, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kestabilan politik negara telah dijelaskan kepada lebih 400 hadirin yang kebanyakannya adalah pelabur pada sesi perbualan tengah hari anjuran badan pemikir, Milken Institute di Singapura yang turut menganjurkan Sidang Kemuncak Asia ke-10 selama tiga hari di republik itu, semalam.

Dalam hantaran itu, Anwar pada sesi berasingan turut bertemu dan berbicara dengan 22 usahawan, ketua organisasi pelaburan dan perbankan di Asia dan menggunakan kesempatan itu menjelaskan mengenai dasar fiskal negara dan makna kelestarian daripada perspektif Malaysia Madani.

Perdana Menteri turut berkongsi pandangan berkaitan isu dan arah tuju ASEAN terutamanya dalam bidang integrasi dan teknologi mencakupi pelbaga sudut.

“Saya simpulkan bahawa Malaysia memberi fokus kepada melengkapi serta memberi nilai tambah pertumbuhan ekonomi dan sosial bersama negara-negara jiran,” katanya.

Semalam,Perdana Menteri mengadakan lawatan kerja sehari si Singapura, antara lain menyertai dua sesi khas Sidang Kemucak Asia Ke-10 Milken Institue itu, A Conversation with the Prime Minister of Malaysia dan Malaysia’s Investment Outlook: A Conversation between YAB Prime Minister and Global Investors.

Lawatan kerja itu turut disertai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir. – Media Perpaduan