UMNO tidak pernah memecat ahlinya hanya kerana perbezaan pendapat dan pandangan dengan parti itu, demikian kata Datuk Lokman Noor Adam.
Ketua Pengarah Komunikasi UMNO itu menegaskan, dakwaan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil bakal dipecat dalam minggu ini merupakan fitnah dan sengaja mahu memburukkan imej parti itu.
“Untuk rekod, UMNO yang berpuluh tahun ditubuhkan ini belum pernah lagi dalam sejarah UMNO, kita (UMNO) memecat ahli kerana ahli itu berbeza pandangan dengan parti ini, tak pernah lagi. Ini semua hanyalah fitnah,” katanya dalam siaran ‘live’ di Facebook.
Semalam, Isham mendakwa beliau kemungkinan besar akan dipecat oleh UMNO dalam minggu ini berikutan mengeluarkan kenyataan menongkah arus dengan ketetapan parti.
Isham mendakwa, beliau tidak pernah bersetuju untuk UMNO bekerjasama dengan PH bertanding dalam mana-mana pilihan raya.
Sebaliknya, beliau menegaskan hanya bersetuju UMNO bergabung dengan PH untuk membentuk Kerajaan Perpaduan seperti dititah Yang di-Pertuan Agong sebelum ini.
Dalam pada itu, Lokman menjelaskan beberapa prosedur perlu dilalui sebelum seseorang ahli UMNO dijatuhkan hukum dipecat oleh parti itu.
“Untuk seseorang dipecat, pertama sekali ahli itu akan dibawa ke jawatankuasa lembaga disiplin UMNO.
“Sehingga ke hari ini tidak ada laporan disiplin dibuat ke atas Isham Jalil, saya dah cek pada lembaga disiplin. Jadi perkara ini tak betul dan amat tidak bertanggungjawab bila mana Isham Jalil mendakwa beliau bakal dipecat oleh MKT pada mesyuarat 13 September ini.
“Saya nampak fitnah ini lebih nak memburukkan UMNO itu sendiri seolah-olah dalam UMNO ini tidak ada ruang untuk berbeza pandangan, tidak ada ruang berbeza pendapat,” katanya. – Media Perpaduan