Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Bahang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai semakin dirasai dengan sejumlah 927 pegawai dan anggota polis akan menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi awal untuk kerusi parlimen berkenaan, pagi ini.

Dua pusat pengundian iaitu Balai Polis Kempas di Kempas dan Markas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua di Tampoi, akan mula dibuka serentak pada 8 pagi nanti sebelum ditutup secara berperingkat iaitu pada 12 tengah hari dan 5 petang.

Bagi proses pengundian awal, sebanyak tiga saluran disediakan di dua pusat pengundian itu membabitkan 46 pemilih di Balai Polis Kempas, manakala 881 orang akan mengundi di Markas PPM Wilayah Dua.

Menurut ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) yang dikeluarkan Sabtu lalu, cuaca hari ini diramalkan cerah pada sebelah pagi dan hujan pada sebelah petang bagi kawasan Parlimen Pulai.

PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan susulan kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lepas.

Bagaimanapun, tiada pengundian awal untuk kerusi DUN Simpang Jeram.

PRK Parlimen Pulai bakal menyaksikan saingan tiga penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH) Suhaizan Kaiat, calon Perikatan Nasional (PN) Zulkifli Jaafar dan calon Bebas Samsudin Mohamad Fauzi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan hari pengundian bagi kedua-dua kerusi tersebut pada Sabtu ini.