Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi memulangkan paku buah keras kepada pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Mahiaddin Yassin dengan persoalan sama ada tindakan menantu Mahiaddin melarikan diri dari siasatan adalah halal.

“Cuba Mahiaddin jawab. Menantu dia lari atau berhijrah? SPRM suruh dia serah diri. Maknanya dia lari. Kalau lari, hukumnya haram atau halal?

“Mahiaddin sudah ada kelayakan menghukum. Menurutnya siapa undi Suhaizan hukumnya haram. Mahiaddin terikut ikut budaya PAS.

“Justeru, jangan tutup mata sebelah bila menantu dituduh lari. Jangan buat “fatwa selektif”. Menantu lari halal pula?,” Puad berkata menerusi hantaran Facebook.

Pada hari Sabtu, Mahiaddin sewenang-wenangnya menjatuhkan hukum haram terhadap sesiapa yang mengundi calon Pakatan Harapan – Barisan Nasional, Suhaizan Kaiat.

Perbuatan Mahiaddin turut dikecam oleh pimpinan PH-BN lain.

Menantu Mahiaddin, Datuk Seri Adlan Berhan dikehendaki oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dalam siasatan agensi tersebut berhubung projek berkaitan pendaftaran, pengambilan serta penyimpanan biometrik pekerja asing.

Parlimen Pulai akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru pada 9 Sept 2023 melibatkan Suhaizan, calon Bersatu Zulkifli Jaafar dan seorang calon Bebas ekoran kematian penyandangnya, allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.