Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang memfokuskan kepada empat misi yang akan memacu transformasi industri skala besar.
Misi pertama adalah menggalakkan industri berinovasi dan menghasilkan produk lebih canggih yang meningkatkan daya saing negara.
Misi kedua adalah membina negara berdaya teknologi maju yang akan meningkatkan produktiviti dan mencipta peluang baru untuk pertumbuhan ekonomi.
“Misi ketiga untuk mencapai pelepasan sifar bersih. Misi ini menekankan komitmen kami untuk menangani perubahan iklim dengan berusaha untuk masa depan sifar bersih.
“Melalui amalan mampan dan inisiatif hijau, kami menyasarkan mengurangkan pelepasan karbon dan membina ekonomi berdaya tahan dan mesra alam. Misi ini sejajar inisiatif Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) saya lancarkan baru-baru ini,” katanya ketika melancarkan NIMP 2030.
Anwar menambah bahawa misi keempat NIMP adalah untuk menjaga keselamatan rantaian bekalan dan keterangkuman ekonomi.
“Misi ini bertujuan mewujudkan persekitaran yang membolehkan jaminan kepada keselamatan rantaian bekalan, menyokong perusahaan kecil sederhana (PKS) dan menggalakkan penyertaan saksama dalam aktiviti ekonomi di semua negeri,”
Majlis pelancaran itu berlangsung di Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), yang juga penggerak NIMP.
Turut sama hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Hampir RM9.5 bilion telah diperuntukkan untuk NIMP 2030 merangsang pelaburan dan pembabitan industri.
“Ia dianggarkan memerlukan jumlah pelaburan sebanyak RM95 bilion sepanjang tujuh tahun (NIMP 2030) terutamanya daripada sektor swasta yang digerakkan daripada ekuiti, modal dan pasaran kewangan swasta.”Ia dianggarkan memerlukan jumlah pelaburan sebanyak RM95 bilion sepanjang tujuh tahun (NIMP 2030) terutamanya daripada sektor swasta yang digerakkan daripada ekuiti, modal dan pasaran kewangan swasta.
“Hampir 10 peratus akan diperuntukkan oleh kerajaan untuk membantu merangsang dan memberi insentif kepada pelaburan ini melalui Dana Pembangunan Perindustrian NIMP dan Dana Pelaburan Bersama Strategik NIMP,” katanya