Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof. Madya Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil berpendirian bahawa gagasan Malaysia Madani yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaras dengan apa yang diajarkan Islam melalui al-Quran.

Beliau dakwaan kononnya konsep Malaysia Madani adalah sekular adalah salah dan terpesong.

Beliau menambah bahawa rakyat wajar memahami konsep dan falsafah sebenar disebalik konsep itu yang selari dengan pandangan ahli falsafah Islam, Al-Farabi bahawa sumber utama ilmu madani adalah ajaran agama yang juga adalah teras.

Beliau menegaskan konsep Madani adalah berasaskan negara Madinah apabila Nabi Muhammad SAW berjaya menyatupadukan penduduknya yang terdiri daripada pelbagai kaum bukan sahaja umat Islam, bahkan bukan Islam (Yahudi) melalui Piagam Madinah.

“Jika dilihat, Perlembagaan Persekutuan yang kita miliki hari ini juga mengambil semangat Piagam Madinah yang merupakan satu dokumen berteraskan persetujuan bersama semua pihak daripada pelbagai agama dan bangsa (kontrak sosial).

“Kerajaan Perpaduan dibentuk dengan sokongan padu daripada empat gabungan terbesar iaitu Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan menterjemahkan nilai kebersamaan dan diversiti dalam kehidupan masyarakat majmuk Malaysia berbilang etnik dan agama,” katanya.

Beliau turut menyandarkan konsep itu berdasarkan ayat 13 surah al-Hujurat Ayat 13 yang bermaksud Allah menciptakan manusia daripada lelaki dan perempuan serta pelbagai bangsa supaya saling kenal-mengenali antara satu dengan lain.

“Ayat ini jelas sebagai panduan untuk hidup serumpun dan bersatu-padu walaupun mempunyai pelbagai perbezaan.

“Maka sebarang usaha atau kenyataan sensitif yang menyebarkan api kebencian, perkauman dan permusuhan dalam masyarakat perlu dipadamkan kerana bagai api dalam sekam, jika dibiarkan akan melarat,” katanya.