PAS sanggup mengorbankan agenda negara Islamnya demi matlamat memenangi pilihan raya, kata presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu yang juga bekas orang nombor dua PAS.
Ketika bersama PKR dan DAP dalam Barisan Alternatif, PAS bersetuju untuk tidak mengetengahkan isu hudud.
Beliau menjelaskan bahawa tindakan PAS meninggalkan Pakatan Rakyat adalah kerana PAS mahu menubuhkan ‘unity government’ bersama UMNO.
“(Selepas PRU-13), sudah ada gamitan Umno ke arah mewujudkan unity government (kerajaan perpaduan).
“(Namun) tiada (diberitahu) apa-apa, tidak melalui Muktamar PAS (atau) diadakan perbincangan panjang, (tetapi) tiba-tiba isytihar PAS putus hubungan dengan DAP.
“Ia bukan masalah hudud, bukan masalah lain, namun (PAS) memang nak bersama Umno dan (disebabkan) perkembangan politik ketika itu akhirnya mereka (PAS dan Umno) menubuhkan Muafakat Nasional (MN),” katanya dalam ucapannya di Ceramah Kelompok DUN Simpang Jeram di Taman Sri Kasih di Muar, malam tadi.
Ini jelas menunjukkan presiden PAS Tan Sri Hadi Awang berbohong berkenaan punca keretakan di antara PAS dan DAP di dalam pakatan-pakatan sebelum ini.
Oleh itu Mohamad meminta kepimpinan PAS untuk berhenti mencanangkan naratif pembohongan bahawa PAS menghentikan kerjasama dengan DAP kerana DAP menentang perjuangan negara Islam dan hudud.
“Pada tahun 1999 PAS mencapai kemenangan cukup besar iaitu menang 27 kerusi parlimen, hadirin sekalian itu kemenangan yang cukup hebat selepas berlaku reformasi.
“Tetapi DAP kalah teruk di mana Kit Siang kalah di Bukit Bendera, Karpal Singh kalah di Jelutong. Isu utama pada waktu itu adalah isu negara Islam. Sebab pengundi Tionghua tidak gemar dengan isu negara Islam. Selepas 1999 DAP keluar daripada BA dan 2004 mereka bertanding lawan dengan BN tidak bersama dengan BA. Hasilnya DAP menang 12 kerusi.
“Menjelang 2008 usaha untuk menggabungkan kerjasama PAS, DAP, PKR berterusan dibuat oleh berbagai pihak. DAP minta negara Islam tidak boleh disebut dan PAS bersetuju gantikan negara Islam dengan negara berkebajikan,” tambah beliau.
Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja turut menceritakan berkenaan mesyuarat yang membincangkan persoalan hudud dalam kalangan komponen parti Pakatan Rakyat.
“Pemimpin PR buat perbincangan khas di pejabat PAS di Kuala Lumpur yang turut dihadiri beberapa pemimpin, antaranya Anwar Ibrahim, Karpal Singh dan Anthony Loke.
“Karpal ketika itu keras.. no hudud sebab (ini) bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan akhirnya keputusan ‘agree to disagree’ (setuju untuk tidak bersetuju’ berjaya dicapai.
“Perkara setuju iaitu lawan dan ganti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), good governance (tadbir urus baik), rasuah dan apa terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan. Yang tak setuju soal hudud,” katanya.
Pilihan raya kecil DUN Simpang Jeram dan parlimen Pulai akan berlangsung pada 9 September. Kedua-dua kerusi ini kosong susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub.