Ahli perniagaan Andrie Ung Han Xiang tampil menjelaskan perihal kelibat pelajar tahfiz yang menghadiri KEPCI Music Fest anjuran KFC pada 26 Ogos di Stadium Melawati, Shah Alam dan kecaman terhadap kerajaan yang tular.
“Pihak KFC dan Kerajaan adalah tidak terlibat sama sekali dengan kehadiran pelajar tahfiz pada hari tersebut.
“Mereka juga tidak diberi sebarang makluman mengenai perkara tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Acara ini turut dihadiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.
Beliau turut menjelaskan latar belakang pelajar tahfiz berkenaan.
“Kanak-kanak yang ditularkan memakai jubah hijau dan berserban putih adalah dari Madrasah Watahfiz al-Quran Rohingya TTDI Jaya.
“Mereka ini adalah dari anak-anak pelarian Rohingya beragama Islam dan hampir tidak tahu untuk berkomunikasi di dalam Bahasa Melayu.
“Tujuan kami hanya ingin menghiburkan mereka kerana di dalam Islam sendiri tidak membezakan sempadan dan status pendatang haram mereka.”
Penularan video yang menampilkan pelajar tahfiz telah dijadikan senjata oleh pihak pembangkang untuk mengkritik kerajaan perpaduan.