Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Fitnah bahawa Tabung Haji (TH) dikuasai oleh orang bukan Islam telah tamat susulan tindakan Ahmad Dusuki Abdul Rani yang menarik balik rayuannya dalam kesnya terhadap naib presiden Amanah, Senator Datuk Dr Mujahid Rawa.

Dusuki telah diperintahkan membayar kos rayuan sebanyak RM5,000.

“Dengan tindakan Dusuki yang telah menarik balik rayuan tersebut, maka berakhirlah sudah episod fitnah yang sekian lama diputarkan oleh Dusuki dan pihak PAS sejak sekian lama; khususnya ketika saya menjadi Menteri Agama bahwa aset TH dijual kepada orang bukan Islam,” kata Mujahid dalam satu hantaran Facebook.

“Kini, dengan tindakan Dusuki yang telah menarik balik rayuannya itu, membuktikan Dusuki akhirnya telah akur bahawa aset Tabung Haji TIDAK dijual kepada orang bukan Islam.”

Ahmad Dusuki telah memfailkan saman fitnah berhubung penjualan aset Tabung Haji terhadap Mujahid ekoran ciapan Mujahid yang berbunyi: “Seorang ustaz berdusta, berpuluh ribu jadi mangsa, berlagak tahu segalanya akhirnya telan api fitnah dalam perut dia sendiri, hingga kini tak pernah tarik balik pendustaannya. Allahu mustaan”.

Walau bagaimanapun Mahkamah Sesyen Shah Alam menolak saman tersebut dengan kos RM11,000 manakala Mahkamah Tinggi menolak saman tersebut dengan kos RM7,000.

Mujahid berkata penolakan kes oleh Mahkamah Sesyen membuktikan aset TH tidak dijual kepada bukan Melayu seperti yang digembar-gemburkan.

Secara keseluruhannya Dusuki perlu membayar Mujahid RM23,000.

Kos keseluruhan yang perlu dibayar oleh Dusuki kepada saya ialah berjumlah RM23,000.00 iaitu merangkumi kos RM11,000.00 di Mahkamah Sesyen, RM7,000.00 di Mahkamah Tinggi dan RM5,000.00 di Mahkamah Rayuan.