Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook menafikan tuduhan liar presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa DAP meminta PAS “membuang Islam” ketika kedua-dua parti tersebut bekerjasama di dalam Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat.
“Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan liar tersebut. DAP tidak pernah meminta PAS “membuang” Islam sepanjang kerjasama di antara kedua-dua parti sama ada semasa dalam Barisan Alternatif (1999-2002) mahupun Pakatan Rakyat (2008-2015),” kata Loke dalam kenyataan media.
“DAP konsisten dalam pendirian kami sepanjang kerjasama politik dengan PAS bahawa kami fokus dalam isu-isu yang dipersetujui bersama tetapi mengambil pendekatan “bersetuju untuk tidak bersetuju” dalam isu yang tidak dapat mencapai konsensus.”
Beliau menegaskan perkara pokok yang tidak dipersetujui adalah pelaksanaan hudud, bukan Islam sepertimana yang ditohmah Hadi.
“Isu pokok yang tidak dapat dipersetujui oleh DAP ialah pelaksanaan hukum hudud. Memang DAP konsisten dalam perkara ini kerana ia tidak berlandaskan kepada sistem undang-undang yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Pendirian tidak bersetuju dengan pelaksanaan hukum hudud tidak bermakna melawan agama Islam!”
Loke turut menyoal Hadi berkenaan label oleh PAS bahawa DAP musuh Islam walaupun Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri menentang pelaksanaan tersebut. Selain itu rakan PAS dalam Perikatan Nasional turut menentang.
“Saya ingin mengingatkan PAS bahawa selain DAP, orang yang paling lantang tidak bersetuju dengan pelaksanaan hukum hudud ialah Tun Dr. Mahathir semasa beliau menjadi Perdana Menteri ke-4.
“Tun Dr. Mahathir tidak pernah setuju dengan pelaksanaan hudud. Begitu juga parti-parti yang disebut oleh Tan Sri Hadi seperti MCA, MIC dan Gerakan.
“Mengapa hanya DAP yang sentiasa dilabelkan oleh PAS sebagai “musuh” Islam? Bukankah ini semata-mata satu pembohongan PAS untuk menjadikan DAP sebagai “punching bag” dalam percaturan politik mereka?”