Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Pengarah Komunikasi UMNO, Dato’ Lokman Noor Adam berkata parti Gerakan yang menganggotai Perikatan Nasional perlu belajar dari DAP berkenaan pengenalan Modul Hadis 40 Imam Nawawi.

“Cuba belajar dari Timbalan Menteri Pendidikan dari DAP, YB Lim Hui Ying. Beliau terangkan dengan jelas bahawa ianya untuk umat Islam sahaja. Yang bukan Islam akan kekal belajar mata pelajaran Pendidikan Moral,” katanya dalam satu hantaran Facebook.

Beliau turut memberi peringatan bahawa pengenalan modul hadis ini tidak akan dipolitikkan sepertimana pengenalan tulisan Jawi.

“Ini bukan macam zaman Mahathir, nak buat orang benci DAP, dia wajibkan matapelajaran tulisan Jawi di sekolah Cina dan Tamil sekali.

“Tentulah persatuan pendidikan masyarakat Cina dan India bantah.”

Dalam pada itu beliau turut menyoal kebisuan pemuda PAS terhadap pendirian Gerakan.

Gerakan menentang pelaksanaan modul hadis 40 Imam Nawawi atas kebimbangan bahawa ia akan diajar kepada pelajar bukan Muslim dan mahukan jaminan bertulis ini tidak akan berlaku.

Parti tersebut juga tidak akan teragak-agak untuk ke mahkamah dalam perkara ini.