Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Meski Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Sanusi Md Nor menjelaskan tindakannya mengetuk kepala seorang wanita muda dengan kertas adalah sekadar bergurau, tetapi perbuatannya itu tetap suatu yang salah daripada segi adab.

Ini kerana, kepala wanita muda yang diketuknya itu adalah seseorang yang sudah dewasa, kata Pengarah Komunikasi Wanita PKR, Noraini Nordin.

“Sedangkan anak kecil pun tidak boleh kita perlakukan begitu apatah terhadap seorang wanita.

“Lagi pula, beliau melakukannya di tempat terbuka yang dilihat oleh ramai orang dan wanita muda berkenaan juga ada urusan rasmi dengannya iaitu berkaitan permohonan bantuan untuk pembelajarannya.

“Sanusi dalam hal ini seolah-olah meremehkan maruah seorang wanita,” kata beliau yang juga Ketua Penerangan Wanita Keadilan dalam satu kenyataannya.

Bukan saja wanita muda berkenaan tentunya terasa dimalukan diperlakukan sedemikian, bahkan keluarga dan ibu bapanya juga pasti tidak senang hati sama, kata beliau.

“Cuba bayangkan jika anak perempuan Sanusi sendiri diperlakukan seperti itu, apa yang beliau rasa?

“Lebih daripada itu, sebagai Menteri Besar atau ketua kerajaan negeri, perbuatan Sanusi itu tambah tidak kena dan memberi gambaran sikap kepimpinannya yang kasar dalam melayani rakyat jelata, terutama kaum wanita,” katanya.

Noraini bertanya, begitukah cara dan layanan beliau dalam melayan rakyat dalam urusan yang bukan berkaitan keluarga, sebaliknya atas urusan rasminya sebagai Menteri Besar?

Sehubungan itu, beliau yang mewakili Wanita KEADILAN menuntut Sanusi agar memohon maaf dan berjanji tidak akan mengulangi lagi perbuatan seperti itu kepada mana-mana wanita di lain-lain masa.

Wanita KEADILAN juga dalam hal ini ingin mengajak semua kaum wanita di negara ini agar bersuara membantah perbuatan Menteri Besar Kedah itu demi mempertahankan maruah wanita secara keseluruhannya.

“Jika bukan wanita membela maruah wanita, siapa lagi,” kata beliau.