Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Tahniah para pengundi di enam buah negeri, dengan izin Allah melalui ruang demokrasi rakyat telah membuat keputusan. Para pemenang adalah kita semua kerana menghormati prinsip demokrasi dalam berpilihanraya. Terimakasih SPR atas pengendalian PRN kali ini.

و أمرهم شورى بينهم
“Dan mereka melaksanakan syura sesama mereka”

Sekarang terpulang kepada penganalisa untuk memperincikan angka-angka yang diperolehi dalam memahami beberapa persoalan kritikal.

Pertama ialah Menjadi satu cabaran apakah pengundi masih belum meyakini model Kerajaan Perpaduan ataukah mereka belum merasai keberkesannanya?

Kedua, apakah kebolehpindahan (transferability) undi UMNO berlaku atau tidak untuk memenangkan calon PHBN? Ini menjawab prestasi parti masing-masing yang baru menjalani perjanjian antara mereka.

Ketiga, Apakah jurang pilihan pengundi Cina/India dengan Melayu semakin melebar lantas meruncingkan lagi isu perkauman? Apakah PN hanya untuk pengundi Melayu dan PH untuk bukan Melayu?

Keempat, Bagaimana semua pihak harus mengatasi bersama isu-isu besar infrastruktur, ekonomi dan perpaduan nasional yang kelihatan tenggelam dalam menentukan trend pengundian di mana isu agama, perbezaan kaum dan cetusan kebencian lebih dominon dalam menentukan pilihan parti.

Sekarang semua pihak harus kembali ke meja perancangan untuk menjawab soalan-soalan di atas berpandukan analisa angka-angka yang akan dikeuarkan nanti. Semua pihak harus membawa rakyat kembali ke arah asas keutuhan negara ini iaitu, Kesatuan Nasional dan Keutuhan Ekonomi untuk memacu kestabilan politik ke arah pemulihan dan perpindahan model baharu pembangunan negara.

Jangan salahkan rakyat atas pemilihan mereka tetapi kekalkan momentum membina landasan pemulihan negara yang kini dipacu oleh kerangka pembangunan Malaysia Madani.

هو أنشأكم من الأرض و استعمركم فيها

“Dia yang menciptakan kamu dari bumi dan menuntut kamu untuk memakmurkannya”

OLEH: Senator Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa

Naib Presiden Parti AMANAH

Pengerusi PH Perak