Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan perbalahan antara satu sama lain yang berlaku di dalam Perikatan Nasional (PN) membuktikan parti itu tidak mempunyai dasar yang baik untuk rakyat.

Bercakap di Lenggeng, Negeri Sembilan malam tadi, Anwar berkata, hanya gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional yang mempunyai calon dan dasar yang jelas untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Tatkala semua calon PH-BN giat berkempen menerangkan visi dan misi mereka parti lawan pula masih berbalah antara satu sama lain dan ini jelas membuktikan mereka tiada dasar yang lebih baik untuk diketengahkan kepada rakyat,” kata PM Anwar dalam ceramah yang penuh sesak dengan penyokong itu.

Anwar dipercayai mengulas pergaduhan dan perbalahan antara sesama pemimpin Pas, sesama pemimpin Bersatu dan juga antara parti-parti dalam PN itu.

Terbaru, Presiden Gerakan Dominic Lau dihalau dari menyertai Ceramah Mega PN di Sungai Dua, Pulau Pinang padahal Gerakan bertanding paling banyak kerusi di negeri itu bagi pihak PN>

Bagi Anwar, dakwaan PN bahawa mereka parti yang bersih sudah tidak akan termakan lagi dalam pilihan raya kali ini selepas ditipu dalam PRU 15 lalu.

“Bagaimana mungkin mereka menyatakan mereka pihak yang ‘bersih’ dan lebih baik dari Gabungan Perpaduan dalam keadaan beberapa watak pimpinan mereka turut terpalit dengan kes di mahkamah,” kata PM Anwar ekoran pendakwaan rasuah dan salah guna kuasa terhadap para pemimpin PN.

Sehingga hari ini, katanya, mereka masih gagal menyatakan dasar apa yang lebih baik yang mereka mahu usulkan kepada rakyat di keenam-enam negeri.

Beliau juga membangkitkan tindakan pemimpin PN yang lebih mementingkan keselesaan pribadi berbanding dengan kepentingan rakyat.

“Justeru, soalan saya kepada mereka adalah watak mana yang ubahsuai kediaman rasmi Perdana Menteri di Sri Perdana dengan kos lebih RM30 juta di saat rakyat berdepan masalah pandemik?” tanya Pengerusi PH itu.