Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyelar tindakan pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Mahiaddin Yassin mempolitikkan isu kalimah Allah demi kepentingan politik.

“Kedegilan Mahiaddin adalah sesuatu yang amat dikesali. terus memainkan isu 3R di sebalik nasihat Raja-Raja Melayu.

“Kalau sebagai pemimpin Melayu Islam tak boleh hormati Majlis Raja-Raja, percayalah orang ini tak boleh hormati rakyat. dia takkan hormat sama sekali,” katanya dalam satu sidang media di Kedah.

Pada hari Ahad, Mahiaddin mendakwa bahawa kerajaan pimpinan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim tidak membuat rayuan dalam kes Jill Ireland kerana dipengaruhi oleh DAP.

Saifuddin menambah bahawa tindakan Mahiaddin turut mengingkari titah Majlis Raja- Raja.

“Majlis Raja-Raja telah memberi nasihat ketika perkara ini timbul dengan minta semua pihak tidak politikkan isu sementara Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) kemukakan syor yang dipengerusikan Sultan Selangor.”

Beliau turut menjelaskan perihal keputusan mahkamah berkaitan percanggahan keputusan kabinet dan arahan pentadbiran di peringkat Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Hal yang ditugaskan kepada KDN ialah syor arahan pentadbiran kerana ada percanggahan dalam arahan menteri ketika Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri. Kabinet ketika itu mengeluarkan pengharaman separa manakala KDN waktu itu buat arahan pentadbiran yang mengenakan pengharaman penuh.

“Arahan pentadbiran di bawah Akta Percetakan. Keputusan tersebut tidak diubah sewaktu Mahiaddin jadi perdana menteri.

“Bila rampasan dibuat berdasarkan arahan pentadbiran, perkara ini dicabar di mahkamah. Mahkamah memutuskan bila ada percanggahan keputusan kabinet dan arahan pentadbiran, keputusan kabinet terpakai.

“Kita akan angkat cadangan yang disyorkan untuk dijadikan arahan pentadbiran. MKI akan bentang pada Majlis Raja-Raja. Untuk Majlis Raja-Raja, isu ini tidak lagi boleh dipolitikkan.

Saifuddin turut mendedahkan prestasi buruk Mahiaddin sebagai Menteri Dalam Negeri dalam isu ini ekoran kegagalannya melaksanakan apa yang telah dipersetujui oleh kabinet.

“Semasa Mahiaddin Menteri Dalam Negeri di bawah Dr Mahathir, kabinet telah bersetuju untuk kes-kes sebegini diselesaikan (menerusi) penyelesaian luar mahkamah atas rasional bahawa ambil kira isu The Herald yang makan masa hampir 13 tahun dan itu jadi punca kepada sentimen keresahan dalam kehidupan bermasyarakat.

“Mahiaddin tidak pernah hormati keputusan ini, tidak diusahakan secara out of court settlement sepertimana keputusan kabinet dan Mahiaddin menteri dalam negeri. Pada dia, kalau isu ini terus dimainkan akan berikan keuntungan politik pada dirinya.”

The Herald merujuk kepada akhbar mingguan The Herald Catholic yang diedarkan di gereja secara percuma.