Sorting by

×

Malam tadi calon Perikatan Nasional Datuk Seri Azmin Ali mendakwa bahawa nasib orang Melayu dan agama Islam di negara ini berada dalam keadaan membimbangkan.

“Umat Islam Melayu tidak boleh jadi pemerhati.

“Sampai bila kita nak duduk kerusi penumpang dan lihat orang lain sedang lakukan sesuatu yang boleh meremehkan kedudukan orang Melayu dan umat Islam.”

“Ini peluang kita. Kalau peluang kita sekali lima tahun pun kita tak ambil, jangan salahkan orang lain.

“Masa depan negeri dan negara ditentukan dengan tangan kita sendiri,” kata Azmin lagi kepada kira-kira 50 hadirin majlis ceramah di hadapan markas PAS Kampung Kemensah (B).

Sebagai bekas Menteri Besar Selangor dan mantan menteri kabinet mungkin sekali Azmin terlupa membaca perlembagaan negeri.

Perlembagaan negeri di semua negeri beraja menetapkan bahawa Menteri Besar, setiausaha kerajaan negeri, penasihat undang-undang dan penasihat kewangan mestilah terdiri daripada orang Melayu – Islam.

Maksudnya Khir Ariffin boleh menjawat mana-mana jawatan di atas yang disenaraikan. Baik Chan Seong Chun mahupun Adnan Anand Abdullah tidak boleh menjawat jawatan-jawatan tersebut.

Di peringkat kerajaan persekutuan tiada peruntukan sebegini namun Perdana Menteri Malaysia secara konvensional sejak kemerdekaan merupakan orang Melayu Islam.

Dalam keadaan manakah Melayu – Islam di Malaysia sekadar menjadi pemerhati?

Hakikatnya politik Malaysia berpandukan politik Melayu.

Persoalan untuk pengundi ialah Perikatan Nasional sudahpun menunjukkan ketidakupayaan mereka di peringkat pusat selama 33 bulan.

Rakyat menderita sehingga terpaksa mengibarkan bendera putih. Bilangan rakyat yang mengalami kemurungan dan bunuh diri turut mewarnai pentadbiran Tan Sri Mahiaddin Yassin.

Di peringkat kerajaan pusat, Mahiaddin menggunakan pandemik Covid-19 sebagai alasan untuk menghentikan fungsi parlimen.

Dari sudut ekonomi, keadaan Melayu – Islam di negeri tadbiran Pakatan Harapan lebih baik berbanding negeri tadbiran PN.

Baik Mahiaddin mahupun presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang tidak pernah berbicara soal ekonomi.

Kita semua tahu apa yang berlaku pada program Jana Wibawa.

Ada kebenaran jika dikatakan Melayu – Islam di Kelantan dan Kedah membimbangkan. Manakan tidak, tanpa bekalan air baik, umat Islam tidak boleh menunaikan solat.

Secara kesimpulan, hanya Melayu – Islam di dalam PN yang bimbang kerana mereka tiada kuasa di peringkat persekutuan untuk membuat sesuatu sesuka hati mereka.