Setelah tawaran berdebat ditolak oleh pengerusi Perikatan Nasional Selangor Datuk Seri Azmin Ali dan pengarah pilihan raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, timbalan presiden PKR Rafizi Ramli melanjutkan cabaran tersebut kepada Ahli Parlimen Bachok Mohd Syahir Che Sulaiman yang juga penolong setiausaha agung PAS untuk berdebat berkenaan isu ekonomi.
“Azmin sudah tolak, Sanusi sudah tolak, saya nak tengok sama ada Syahir yang diangkat sebagai tokoh nombor satu ekonomi dalam Perikatan Nasional (PN) tampil ke hadapan dan kita sudah beri ruang sepenuhnya.
“Saya akan menulis secara rasmi kepada dia dan saya tunggu dia nak jawab apa,” katanya kepada pemberita selepas Jelajah Madani Dewan Undangan Negeri (Dun) Sikamat di sini, malam tadi.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata, beliau akan terus meminta untuk berdebat dengan wakil PN kerana budaya ini seperti ini perlu dibawa demi pembaharuan negara.
“Ditambah lagi tokoh-tokoh daripada PN ini berkali-kali memainkan sentimen yang tidak ada asas mengenai keadaan ekonomi negara.
“Inflasi sudah turun, prestasi pasaran saham naik baik tetapi mereka masih membohongi rakyat dan mengulangi benda yang tidak betul.
“Kalau zaman saya pembangkang dahulu, saya yang mencabar menteri untuk berbahas, tetapi menteri tak nak. Jadi, sekarang kita sudah beri ruang sepenuhnya,” katanya.
Ahli Parlimen Pandan itu turut mengingatkan kepada PN, sekiranya mereka berdolak-dalih, pengundi atas pagar akan menganggap bahawa mereka tidak berani berdebat dengannya.
“Mereka boleh sahaja pusing macam mana, tetapi pengundi atas pagar akan mengambil kira bila tidak berani berdebat itu, maksudnya kamu tidak ada idea dan perancangan untuk ekonomi.
“Itu juga cara terbaik untuk saya menjawab tuduhan-tuduhan tak berasas selama ini,” katanya.