Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Penyandang DUN Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli yang kembali ke kampung halamannya di Hulu Kelang sebagai calon Pakatan Harapan (PH), mahu meneruskan rentak kekalahan bekas menteri besar Azmin Ali yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN).

Juwairiya, 38, dipindahkan dari kerusi asalnya pada saat akhir pengumuman calon PKR-PH pada 22 Julai lalu, mengakui cabaran itu bukan mudah namun tidak sesekali gentar berdepan calon “heavyweight” daripada PN itu.

Malah, timbalan ketua Wanita PKR itu bersedia menambah derita kekalahan Azmin pada PRU15 yang tewas kepada Menteri Besar Amirudin Shari di Parlimen Gombak dengan majoriti 12,729 undi. Hulu Kelang antara tiga DUN bawah Parlimen itu.

Pernah bersama dalam PKR sebelum Azmin menyertai Bersatu susulan “Langkah Sheraton”, Juwairiya berkata pengkhianatan bekas timbalan presidennya itu masih terasa hingga saat ini kerana turut menyebabkan ketidakstabilan negara apabila tampuk pentadbiran sering bertukar pasca PRU14.

“Kita tak boleh benarkan sikap ini berada dalam pemerintahan dan kepimpinan negara. Ini akan rosak kalau terus dibiarkan.

“Kita dah berjaya pada PRU lepas apabila rakyat Gombak beri isyarat menolak politik kotor pengkhianatan dalam perjuangan, kita harus buktikan sekali lagi dalam PRN ini menolak beliau (Azmin),” katanya dalam wawancara FMT di Pusat Gerakan Utama PH DUN Hulu Kelang.

Azmin, menepati ramalan tidak mempertahankan DUN Bukit Antarabangsa, salah satu DUN bawah Parlimen Ampang pada PRN ini namun berpindah ke Hulu Kelang, kerusi pernah dimenanginya pada 1999.

Juwairiya ditukarkan dari Bukit Melawati untuk membawa cabaran PH di Hulu Kelang yang sebelum ini diwakili Amanah, digantikan dengan kerusi Batu Tiga di Shah Alam.

Terkejut tapi bukan beban

Mengakui terkejut dengan pertukaran yang diberitahu kepadanya 24 jam sebelum pengumuman calon PKR-PH Selangor, Juwairiya tidak melihatnya sebagai “beban” sebaliknya terus turun padang bertemu masyarakat serta ahli PH dan Barisan Nasional (BN) di kawasan, sebaik menerima mandat parti.

“Saya ambil ini sebagai satu cabaran dan saya bersedia untuk berhadapan dengan tokoh ini, saya percaya sokongan, kekuatan dan kuasa rakyat itu lebih besar berbanding susuk individu.”

“Kita perlu ada kepercayaan itu kerana akhirnya yang membuat keputusan adalah rakyat,” katanya menyifatkan kerusi Hulu Kelang yang mempunyai 82% pengundi “tidak boleh dipandang enteng”.

Menyifatkannya sebagai sirih pulang ke gagang, anak jati Lembah Keramat itu mempunyai ramai keluarga dan bersekolah di situ sehingga berusia 17 tahun sebelum melanjutkan pengajian ke menara gading dan menjadi wakil rakyat di Bukit Melawati mulai 2018.

“Saya percaya dengan kekuatan PH yang mentadbir kerajaan persekutuan dan berada di Hulu Kelang sejak tiga penggal lalu, bekas Adun Saari Sungib dapat menjaganya dengan baik.

“Mudah-mudahan saya dapat buat lebih baik jika terpilih, apatah lagi ini kawasan saya dan keluarga, sudah pasti harus berjuang untuk mereka dan penduduk di tempat saya sendiri,” kata pemegang ijazah sarjana muda teknologi maklumat (sains dan pengurusan sistem) Universiti Kebangsaan Malaysia itu.

Menghormati Saari yang lebih mesra dengan jolokan Pak Abu sebagai bekas Adun di situ, Juwairiya tidak mengambil masa lama untuk bertemu beliau dan anaknya, Anfaal yang sebelum ini disebut-sebut bakal meneruskan legasi bapanya, demi menjernihkan keadaan.

“Anfaal terima dengan hati terbuka walaupun saya memahami keadaannya bersedih kerana telah lama buat kerja, bersungguh-sungguh berkempen dan mempunyai reputasi yang baik.

“Namun beliau juga akur seperti saya, saya tiada pilihan dan jawapan mengapa datang ke sini…tetapi inilah arahan pucuk pimpinan yang kita harus akur,” katanya.