Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa bantuan khas yang diumumkan di bawah inisiatif Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat hanya gula-gula politik sempena pilihan raya negeri di enam buah negeri pada 12 Ogos.
Ini kerana pengumuman bantuan khas telah dibuat sebelum kempen pilihan raya negeri bermula.
“Tempoh kempen hanya bermula setelah proses penamaan calon esok dan berlangsung hingga 12 Ogos.
“Selain itu, prinsip kita untuk tidak menggunakan jentera kerajaan, tidak memberi gula-gula politik dan tidak mengumumkan projek segera,” dia berkata dalam sidang media selepas melancarkan Pakej Jalur Lebar Rahmah Allo.
Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemberian bantuan khas RM 300 kepada penjawat awam gred 56 dan kebawah manakala pesara memperoleh RM200 ketika pelancaran inisiatif Ekonomi Madani.
Kerajaan juga menawarkan RM100 dalam bentuk e-kredit kepada 10 juta rakyat Malaysia yang memperoleh pendapatan RM100,000 ke bawah.
“Bila saya lancarkan pakej ini, adakah ini juga dianggap gula -gula politik. Ia perkhidmatan biasa.
“Kerja kerajaan mesti berterusan. Kita tidak boleh menundakan pengumuman sebegini.