Sorting by

×

“Tak apalah, orang panggil saya Menteri Jaga Lif? Saya tak kesah, asalkan penduduk selesa,” kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Nga berkata demikian selepas merasmikan Projek Penggantian Lif dan sesi walkabout bertempat di Program Perumahan Rakyat (PPR) Kota Damansara sempena Program Sentuhan Kasih KPKT.

Nga telah merasmikan dua belas (12) unit lif yang telah siap digantikan di Blok A, B, C dan D, PPR Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor dengan jumlah kos sebanyak RM3.7 juta di bawah peruntukan Kerajaan Persekutuan melalui Program Penyelenggaraan Perumahan (PPP).

Projek penukaran lif menjadi salah satu fokus Nga sejak menjadi menteri KPKT.

(Nga dan timbalannya merasmikan 12 lif yang baharu ditukar di Kota Damansara.)

Ini kerana, lif adalah masalah utama penduduk rumah bertingkat (berstrata) di ibu negara khasnya dan juga bandar-bandar utama di negara ini.

Lif semakin kritikal ketika masalah air pula berlaku.

Sejak awal menjadi Menteri KPKT, Nga Kor Ming telah memberikan tumpuan untuk membantu menyelesaikan masalah lif.

Sebelum ini beliau memberikan tumpuan kepada masalah tandas awam yang tidak terurus dan kotor.

Bagi Nga, penyaluran peruntukan ini adalah bertujuan bagi memastikan kesejahteraan dan keselamatan penduduk di PPR Kota Damansara sentiasa terjamin.

Pada tahun 2023, Kerajaan Perpaduan telah menyediakan sebanyak RM90.4 juta untuk penyelenggaraan dan baik pulih perumahan berstrata (bertingkat) awam dan swasta kos rendah dan sederhana rendah di bawah Program Penyenggaraan Perumahan (PPP) dan Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPM).

Daripada peruntukan tersebut, sejumlah RM10.5 juta iaitu 11.6% telah disalurkan khusus untuk negeri Selangor.

KPKT melalui URBANICE Malaysia juga turut mewujudkan sebuah Ruang Komuniti (Community Corner) melalui transformasi ruang sedia ada di Blok C, PPR Kota Damansara.

Ia dibuat dalam usaha mencetuskan aktiviti sosial yang baik dan selamat serta memberikan peluang kepada penduduk yang memiliki latar belakang, kumpulan umur, dan kaum yang berbeza untuk membina hubungan komuniti yang sihat dan berdaya tahan.

Ruang ini dilengkapi dengan meja dan kerusi serta buku-buku untuk pembacaan dan aktiviti permainan sebagai platform bagi anak-anak penghuni PPR dalam melahirkan ekspresi, idea, mahupun emosi.