Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan semua Ahli Parlimen kerajaan akan memberi komitmen yang tinggi pada persidangan Dewan Rakyat kali ini.

Timbalan Perdana Menteri juga menyatakan komitmen beliau bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan semua ahli Parlimen kerajaan untuk sesi perbahasan Titah Diraja yang dijadualkan bermula esok.

“Pagi ini saya hadir ke Dewan Rakyat dan mendengar Titah Diraja oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 yang bermula hari ini.

“Insya-Allah, saya bersama Anwar dan seluruh barisan Ahli Parlimen kerajaan sudah bersedia sepenuhnya untuk sesi perbahasan Titah Diraja bermula esok.

“(Kami) akan memberikan komitmen yang tinggi pada sidang Parlimen kali ini,” katanya yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Terdahulu, Sultan Ibrahim berkenan merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 di Bangunan Parlimen.

Turut berangkat ke istiadat itu, Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.

Titah sulung selepas baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 31 Januari lalu, itu menyentuh pelbagai isu, terutama berkaitan perihal rakyat dan beberapa teguran kepada semua ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Disiarkan secara langsung pada jam 10 pagi menerusi siaran rasmi dan platform dalam talian, ucapan Seri Paduka bukan sekadar dinantikan Ahli Parlimen, tetapi juga rakyat yang ingin mengetahui inti pati Titah Diraja.

Sebelum urusan Titah Diraja berlangsung di Dewan Rakyat, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Dataran Parlimen bagi istiadat pemeriksaan kawalan kehormatan.

Keberangkatan tiba baginda disambut Anwar, Ahmad Zahid; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Mutang Tagal.

Berdasarkan takwim di laman rasmi Parlimen, persidangan kali ini akan berlangsung selama 19 hari dengan tumpuan adalah perbahasan Titah Diraja oleh Ahli Parlimen dari 27 Februari hingga 7 Mac, diikuti jawapan daripada kementerian berkaitan selama empat hari bermula 11 Mac.

Persidangan Dewan Rakyat kemudian diteruskan dengan pembentangan rang undang-undang (RUU) antaranya RUU Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355).

Selain itu, RUU bagi merealisasikan penubuhan agensi tunggal sempadan negara (SBA) juga dijangka dibentang di Parlimen pada suku pertama tahun ini.

Penubuhan SBA seperti diumumkan Perdana Menteri ketika pembentangan Belanjawan 2024 adalah sebahagian daripada inisiatif memperkukuh tahap kesiapsiagaan pertahanan dan keselamatan negara.

Minggu pertama sidang Dewan Rakyat juga dijangka membabitkan prosiding berhubung pengurusan pelaksanaan projek Sistem Tol Aliran Pantas Pelbagai Lorong oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara.-BH Online