Dasar Pengguna Negara (DPN) 2.0 yang ditambah baik akan dilancarkan serentak dengan Pelan Tindakan Kepenggunaan 2030 (PTK) pada suku ketiga tahun ini, bertujuan untuk memperkukuh agenda kepenggunaan di Malaysia.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, selepas lebih dua dekad dilancarkan, wujud keperluan untuk dasar itu ditambah baik dengan mengambil kira situasi perkembangan ekonomi, tuntutan semasa dan keperluan agenda kepenggunaan yang lebih bersifat holistik.
Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Sesi Dialog Prakarsa Pendayaupayaan Pengguna pada Selasa, Armizan berkata, DPN 2.0 dirangka berteraskan tiga perkara iaitu partisipasi rakyat, perundangan dan penguatkuasaan serta pendidikan nilai kepenggunaan.
“Ini tiga komponen penting sebab kita mahu DPN ini kelak bukan hanya merupakan satu dasar kerajaan tetapi merupakan dasar yang akan digerakkan secara keseluruhan negara, ia juga milik kepada badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak berkepentingan supaya mereka dapat bergerak bersama-sama kerajaan dan KPDN menjayakan dan melaksanakan dasar ini.
“Kita ingin melihat juga melalui DPN 2.0, teras agenda kita dalam kepenggunaan ialah dapat membuat anjakan yang selama ini bersifat perlindungan pengguna kepada daya ketahanan pengguna,” katanya.
Armizan berkata, DPN 2.0 juga merangkumi penambahbaikan pelbagai aspek termasuk perundangan supaya dapat melindungi hak dan daya ketahanan pengguna.
“Contohnya aspek yang pernah dibangkitkan ialah ‘Lemon Law’ yang mana kita akan lihat juga melalui dasar kepenggunaan ini sama ada kita memerlukan perundangan khusus yang terkait dengan undang-undang ini atau kita boleh tambah baik perundangan sedia ada.
“Kita juga akan melihat dari aspek e-dagang dan kecerdasan buatan (AI) kerana banyak perubahan dari aspek asas ekonomi, bukan sahaja di negara ini, malah dunia,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya kini sedang giat melaksanakan libat urus dengan pelbagai pihak khususnya pihak berkepentingan termasuk NGO, wakil media dan pemain industri bagi menambah baik kerangka draf DPN 2.0.
“Kita membuka ruang supaya mereka (NGO, media dan pemegang taruh), mempunyai masa dan dapat memberikan pandangan itu dengan lebih komprehensif sehingga 15 Mac ini bersempena dengan Hari Pengguna Kebangsaan dan Sedunia.
“Pada 15 Mac ini kita akan membuka ruang kepada mereka untuk menyerahkan secara rasmi syor dan pandangan mereka ke atas draf DPN 2.0 yg hari ini telah kita kongsikan kepada mereka,” katanya.
Beliau berkata, selepas pihaknya merumuskan syor dan pandangan yang dikemukakan, proses penggubalan dokumen DPN dan PTK yang ditambah baik akan melalui fasa Analisis Impak Peraturan yang diselia oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).
“Jadi selepas Analisis Impak Peraturan selesai dan kita dapat come out dengan ‘Regulatory Impact Statement’, kita akan siapkan memorandum Jemaah Menteri untuk persetujuan sebelum dilancarkan pada waktu yang ditetapkan,” katanya. – Bernama