Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr Ismail Bakar dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) baharu berkuat kuasa 1 Februari lalu sehingga 31 Januari 2027.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Datuk Dr Prasad Sandosham Abraham pula dilantik Timbalan Pengerusi EAIC.null

Katanya, lima lagi anggota EAIC yang dilantik ialah Datuk Seri Dr Yusof Ismail, Datuk Seri Dr Razali Ab Malik, Datuk Dr Mohd Gazali Abas, Datuk Ong Lam Kiat dan Datuk Siti Zainab Omar.

Pelantikan itu diperkenankan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 24 Januari lalu.

“Sukacita dimaklumkan bahawa selaras dengan Subseksyen 5(1) Akta EAIC 2009 (Akta 700), Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 24 Januari 2024 memperkenankan pelantikan tujuh anggota EAIC untuk tempoh tiga tahun.

“Yang di-Pertuan Agong turut memperkenan pelantikan Tan Sri Dr Ismail Bakar sebagai Pengerusi dan Datuk Dr Prasad Sandosham Abraham sebagai Timbalan Pengerusi EAIC,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ismail adalah KSN yang dilantik pada 28 Ogos 2018 bagi menggantikan penyandang terdahulu, Tan Sri Dr Ali Hamsa. 

Anwar berharap, pelantikan terbabit akan memperkukuh pelaksanaan fungsi dan keberkesanan EAIC ke arah memastikan mutu penguatkuasaan yang efektif dan berintegriti dalam kalangan pegawai penguat kuasa dan agensi penguatkuasaan.

Katanya, kerajaan turut merakamkan penghargaan kepada barisan anggota EAIC terdahulu iaitu Tan Sri Sidek Hassan, Tan Sri Zainun Ali, Tan Sri Mahmood Adam, Tan Sri Aziah Ali, Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin, Datuk John Louis O’hara dan Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod.

“Mereka sudah melengkapkan perkhidmatan di suruhanjaya terbabit pada 30 Jun 2023,” katanya.-BH Online