Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Seniwati legenda, Datuk Sarimah Ahmad, 82, menghargai usaha kerajaan menyiasat dakwaan empat filem terbitan syarikat produksinya, Sarimah Film Production, dicuri individu terkenal.

Terharu dengan keprihatinan kerajaan, Sarimah bagaimanapun menyerahkan perkara itu kepada rezeki dan berharap isu itu dapat diselesaikan segera dengan cara baik. null

“Saya hendak ucapkan berbanyak terima kasih kepada Kementerian Komunikasi kerana mahu tolong. Segala usaha dan kerpihatinan yang ditunjukkan kerajaan, saya amat menghargainya.

“Lega rasanya kerana ada pihak yang ingin membantu saya. Setakat ini, masih belum ada mana-mana pihak yang hubungi saya untuk membincangkan perkara itu.

“Kalau diikutkan, saya sudah tawar hati dengan apa yang berlaku. Namun, apabila anak saya membangkitkan kembali nasib yang menimpa filem saya dan sampai bila hendak berdiam diri, saya akhirnya bersuara.

“Apapun, saya akan cuba mendapatkan kembali hak saya itu selagi hayat masih ada. Manalah tahu terbuka pintu hatinya untuk pulangkan filem saya.

“Apapun saya serahkan perkara ini kepada Allah SWT. Kalau ada rezeki saya, adalah. Tetapi kalau ditakdirkan bukan rezeki, saya reda,” katanya kepada BH Online.

Sementara itu, anak kelima bintang filem Studio Jalan Ampas, Singapura itu, Yusarima Yusof, 53 berharap usaha kerajaan membantu ibunya itu dapat mengakhiri kedukaan insan tersayang itu sejak 36 tahun lalu.

“Dahulu, ibu pernah cuba meminta bantuan beberapa pihak bagi mendapatkan kembali filem terbabit, tetapi, tiada siapa ingin membantu.

“Justeru, apabila kementerian sudi menjadi perantara kepada isu ini, saya amat mengalu-alukannya. Kami amat memerlukan pertolongan mereka.

“Sekurang-kurangnya, kıta tahu apa yang terjadi dan bagaimana nasib semua filem yang diambil itu,” katanya.

Semalam, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dilapor memberi jaminan akan meneliti dakwaan Sarimah termasuk mendapatkan maklumat dan perincian lebih jelas.

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) turut dilapor mahu membantu Sarimah dan berjanji bertemu seniwati legenda itu dalam masa terdekat bagi mendapatkan butiran lanjut.

Semalam, Sarimah dilapor mahu seorang penerbit terkenal mengembalikan pita asal empat filem iaitu Detik 12 Malam, Jejak Bertapak, Dia Ibuku dan Kabus Tengahari yang diambil sejak 36 tahun lalu sebelum beliau menutup mata buat selama-lamanya.

Sarimah yang juga ibu kepada enam cahaya mata itu mendakwa, pita asal empat filem terbabit yang disifatkan amat bermakna, diambil seorang penerbit pada hari kematian suaminya, Allahyarham Yusof Majid pada 1988.

Sarimah turut mendakwa, individu terbabit memungkiri janji memulangkan empat filem berkenaan kepadanya.

Sarimah ditemui media ketika menerima kunjungan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Ahmad Farhan Fauzi yang hadir ke kediamannya di Subang Jaya, Selangor, sempena Program Ziarah Madani, kelmarin.-BH Online