Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Umat dituntut agar istiqamah dalam mendirikan solat lima waktu, kasih dan ihsan terhadap fakir miskin serta membenam perilaku dusta dan nafsu serakah. Ia syarat bagi melonjakkan kebangkitan dan kemajuan bangsa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi perutusan Israk dan Mikraj 1445H di laman Facebooknya memaklumkan, tuntutan itu turut terpakai dalam hal terkait pemerasan ke atas rakyat Palestin.

“Iktibar Israk dan Mikraj malar segar dan harus diperingatkan agar umat waspada dan berubah, sementelahan pula Baitul Maqdis di Palestin itulah jua asas kepada mikraj Baginda dalam pendakiannya menuju puncak cakerawala.

“Maka, harus kita dukung sekalian usaha buat memastikan keadilan tertegak, bermula dari dalam diri hinggalah kepada keadilan masyarakat.

“Bebas al-Quds! Merdeka Palestin! Moga kezaliman tumpas dan umat terbela,”katanya.

Menceritakan semula peristiwa Israk dan Mikraj, Perdana Menteri berkata Rasulullah SAW diberi keistimewaan luar biasa tatkala Baginda dibawa menerobos langit malam bagi menerima perintah baharu daripada Yang Maha Esa, apatah lagi perjalanan itu sebagai mengubat hatinya yang pilu seusai pemergian suri hatinya Khadijah dan bapa saudara Abu Talib.

“Sementara perjalanan Israk dan Mikraj itu menjadi penguat keimanan terhadap kerasulan Baginda, peristiwa itu juga mengungkap 1001 iktibar yang dipertontonkan terkait soal akidah dan akhlak bagi seorang hamba. Maka hampir wajib ibrahnya dibugar di sepanjang zaman,”katanya.-Berita RTM