Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, sepatutnya sudah dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bagaimana pendakwaan terhadap beliau ditangguhkan SPRM kerana Daim sedang dalam rawatan di hospital swasta atas masalah kesihatan yang tidak dinyatakan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata pihaknya sudah mendapat kebenaran daripada Jabatan Peguam Negara untuk mendakwa bekas menteri kanan terbabit sejak minggu lalu.

Beliau berkata, pihaknya kecewa dengan doktor yang merawat Daim yang gagal berterus-terang kepada pegawai penyiasat SPRM mengapa bekas menteri itu dianggap tidak mampu hadir di mahkamah.

“Kami dapat kelulusan untuk mendakwa Daim sejak seminggu lalu.

“Apabila pegawai penyiasat memaklumkan peguamnya bahawa Daim perlu hadir ke mahkamah, peguam itu beritahu SPRM bahawa Daim telah dimasukkan ke sebuah hospital swasta.

“Kami buat semakan, Daim memang dimasukkan ke hospital sebelum kami dapat kelulusan untuk mendakwa. Bagaimanapun, sehingga hari ini, kami tidak dapat memastikan mengapa dia dimasukkan ke hospital kerana doktor yang merawatnya tidak mendedahkan apa yang tidak kena dengan Daim,” katanya dalam kenyataan seperti dilaporkan portal Malaysiakini.

Azam berkata, Daim dijangka berdepan dengan sekurang-kurangnya satu pertuduhan kerana gagal mengisytiharkan beberapa hartanah yang dimiliki bersama isterinya.

Katanya, berdasarkan situasi Daim, SPRM juga boleh membawa seorang hakim ke hospital yang menempatkan beliau supaya pertuduhan dapat dibacakan. Bagaimanapun, Azam menegaskan, langkah itu bukan pilihan pertama pihaknya melainkan keadaan memerlukannya.-BH Online