Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memfokus sembilan kerangka keberhasilan utama dalam mendepani cabaran, tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata antara fokus terbabit ialah meningkatkan industri penjagaan dengan memperkasakan golongan itu melalui program latihan, sekali gus melahirkan lebih ramai penjaga berkemahiran.

Selain itu, beliau berkata, KPWKM akan membangunkan Modul Kursus Asuhan dan Jagaan Orang Kurang Upaya (OKU) supaya lebih berfokus bagi menyokong perkembangan potensi golongan berkenaan secara menyeluruh.

“KPWKM juga akan memantapkan Program Penjagaan Kesihatan Ibu Lepas Bersalin MamaCare serta mempergiatkan Kempen Kesedaran Penjagaan. Bagi pengoperasian Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak (JPKK) pula, ia akan terus diperkasakan ke fasa seterusnya dengan pengambilan pegawai yang akan menggerakkan operasi jabatan ke tahap optimum.

“Tindakan itu mampu meningkatkan kecekapan, ketelusan dan akauntabiliti dalam memastikan perkhidmatan menyeluruh serta profesional dapat diberikan demi kesejahteraan kanak-kanak di negara ini. Selain itu, pindaan akta dan dasar berkaitan kanak-kanak akan dilaksanakan bagi memantapkan lagi peranan JPKK,” katanya ketika menyampaikan Amanat KPWKM, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Nancy turut melancarkan Modul Intervensi Bengkel Interaktif (MIBI 2.0) sebagai intervensi psikologi dan kaunseling bagi kes kanak-kanak bawah perintah Bengkel Interaktif, Akta Kanak-Kanak 2001, yang merangkumi empat konstruk utama iaitu Pelan Intervensi Psikologi Kaunseling, Psikopendidikan (Retreat Keluarga), Penaksiran Psikologi dan Konsultasi Keibubapaan.

Modul versi pertama pada 2010 dibangunkan atas keperluan Akta Kanak-Kanak 2001 yang membabitkan Seksyen 30(8)(a) dan Seksyen 93(1)(b).

Nancy berkata, pelaksanaan modul versi baharu itu akan menambah impak positif dalam perkembangan, pemulihan dan pembangunan kendiri kanak-kanak serta keluarga.

Seterusnya, beliau berkata, Tribunal Antigangguan Seksual (TAGS) akan beroperasi sepenuhnya pada tahun ini dengan kerja berkaitan giat dilaksanakan, antaranya penguatkuasaan peraturan antigangguan seksual, penguatkuasaan sepenuhnya Akta Antigangguan Seksual 2022 (Akta 840) serta pelantikan Ahli Tribunal Antigangguan Seksual.

“KPWKM juga giat memperkasakan wanita dan mengarus perdana gender melalui pelbagai program serta kempen pemerkasaan komuniti, sokongan sosial, penjanaan pendapatan serta pewujudan persekitaran kondusif bagi menyokong usaha kerajaan mencapai 60 peratus penyertaan tenaga buruh wanita dan toleransi sifar keganasan terhadap wanita (ASSERT).

“Kerangka lain yang turut diberi fokus ialah Mendaya Upaya Orang Kurang Upaya dan Warga Emas; Memperkasa Praktis Kerja Sosial; Menambah Baik Perundangan, Akta dan Dasar; serta Pendigitalan Penyampaian Perkhidmatan.

“Mengorak langkah ke arah pendigitalan, pembangunan sistem serta aplikasi sedia ada akan dinaik taraf selari keperluan teknologi semasa, antaranya Sistem Talian Kasih 15999, Sistem Pendaftaran dan Pemetaan Warga Emas (eWE) serta Sistem Semakan Pesalah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak (eDKK),” katanya.

Selaras hasrat memperkukuh institusi kekeluargaan, Nancy berkata, program Kembara KASIH KPWKM akan dilaksanakan bagi memperluaskan capaian program dan inisiatif kementerian ke seluruh negara.

Selain itu, katanya, pelbagai program advokasi akan dilaksanakan, antaranya KASIH: Keluarga Harmoni, Negara MADANI, Peluasan Projek Anjung Sinar serta pengoperasian Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS).

KPWKM turut memberikan komitmen untuk melancarkan Dasar Sosial Negara 2024-2030 pada suku pertama tahun ini.

“Dasar ini yang menjajarkan 44 dasar berkaitan instrumen sosial di 19 kementerian berportfolio sosial dalam Kerajaan MADANI, akan menjadi satu dasar payung yang memfokuskan pembangunan manusia dan sistem sosial untuk mencapai masyarakat berdaya tahan, progresif, bertanggungjawab, prihatin, beretika dan mempunyai jati diri yang utuh,” katanya. – BH Online